Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

3 pekerja ladang disyaki tanam pokok ganja diberkas

Polis menahan tiga pekerja ladang warga Bangladesh susulan penemuan satu anak pokok ganja setinggi 40 sentimeter (cm) yang ditanam dalam polibeg di luar rumah kongsi mereka di Lojing, Gua Musang, Selasa lepas.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata lelaki terbabit yang masing-masing berusia 23, 24 dan 34 tahun menghuni sebuah rumah kongsi ladang sayur-sayuran itu ditahan sepasukan anggota polis yang menjalankan Op Tapis.

“Selain penemuan anak pokok ganja itu, hasil siasatan di dalam rumah polis menemukan 5.3 gram daun kering disyaki ganja yang disembunyikan dalam lipatan kertas surat khabar,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Kursus Tempur Jarak Dekat Siri 1/2022 di Lapang Sasar Bukit Pak Junuh, di Pasir Mas hari ini.

Kata Zaki ketiga-tiga lelaki Bangladesh yang juga positif dadah itu kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Kes itu katanya kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu Zaki berkata polis berjaya merampas dua tan daun ketum selepas menahan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun semasa sekatan jalan raya di Jalan Gerik-Jeli pada 5.52 pagi semalam.

“Pemeriksaan di bahagian belakang lori menemukan bungkusan plastik hitam berisi gulungan plastik cerah berisi daun ketum. Jumlah keseluruhan daun ketum yang ditemukan adalah sebanyak 2.030kg bernilai RM60,000.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui destinasi daun ketum itu akan dihantar," katanya.

Menurut Zaki lagi kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

- Bernama