Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jawatan TPM: Shahril nafi wujud perjanjian antara Ismail dan PN

Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memeterai persetujuan dengan Perikatan Nasional (PN) berhubung jawatan timbalan perdana menteri.

Shahril berkata jika persetujuan seumpama itu wujud, mengapa ia baru didedahkan sekarang.

Untuk rekod, kedua-dua Shahril dan Ismail Sabri adalah ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

"Tiada perjanjian setahu saya. Kalau ada perjanjian kenapa sekarang baru kita dengar dakwaannya? Kalau ada..kenapa ada menteri-menteri kanan?

“Tak pernah diumumkan, tak pernah dibincangkan. Pas pun dalam PN. Tak pernah pun sebut apa-apa berhubung hal ini. Jadi saya anggap ni cerita rekaan semata-mata oleh pihak terdesak," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan sebelum ini mendakwa ada perjanjian bertulis antara PN dengan Ismail berkenaan perkara itu, yang dibuat sebelum Ismail menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Wan Saiful

Selain kedudukan timbalan perdana menteri, Bersatu juga sebelum ini menggesa Ismail Sabri untuk menggantikan Zuraida Kamaruddin - yang keluar daripada parti itu - daripada jawatan menteri perusahaan perladangan dan komoditi.

Shahril percaya Ismail Sabri tidak akan tunduk kepada tekanan mana-mana pihak memandangkan keutaman pada masa ini adalah untuk membaik pulih ekonomi, selain penggal Parlimen juga akan tamat tak lama lagi.

"Patut Kabinet dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bantu Perdana Menteri, bukan desak-desak jawatan,” katanya lagi.