Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peguam Syed Saddiq dakwa saksi cuba sabotaj

Peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini menuduh saksi pendakwaan mensabotaj anak guamnya.

Semasa pemeriksaan balas hari ini di hadapan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid, Gobind mempersoalkan bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali jika benar penahanannya berhubung pengeluaran wang dari akaun Pemuda Bersatu adalah kerana ia tidak mengikut protokol parti.

Rafiq memberi keterangan semalam bahawa Perkara 24.8 perlembagaan Bersatu membawa kepada penahanannya oleh SPRM.

Menurut Perkara 24.8 perlembagaan parti itu, sebarang perbelanjaan melebihi RM500,000 tidak boleh dibuat tanpa kelulusan dan kebenaran daripada majlis tertinggi parti dan bendahari parti hanya boleh menyimpan sehingga RM50,000 pada satu-satu masa.

Hari ini, semasa pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rafiq memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa tiada cadangan dikemukakan untuk pengeluaran dan pengagihan dana dari akaun Pemuda Bersatu.

Dia menambah bahawa pengeluaran dana itu tidak mengikut prosedur dari awal.

Kemudian semasa pemeriksaan balas, Rafiq mengakui bahawa dia telah diberitahu oleh SPRM bahawa pengeluaran dana itu melanggar Perkara 24.8 perlembagaan parti.

Gobind: Anda diberitahu oleh SPRM bahawa perlembagaan Bersatu telah dilanggar, bukan?

Rafiq: Ya.

Gobind: Tetapi sekarang anda tahu bahawa SPRM tersilap kerana Perkara 24.8 tidak mengatakan pengeluaran (adalah satu kesalahan), ia mengatakan bahawa perbelanjaan untuk bayaran sekali sahaja sebanyak RM500,000 (adalah satu kesalahan), yang tidak berlaku di sini, betul?

Rafiq: Ya.

Gobind: Adakah itu sebabnya seluruh bukti anda telah berubah sekarang, dan anda memberi tumpuan kepada kertas kerja?

Rafiq: Ya.

Gobind: Ini tidak masuk akal. Siapa suruh anda buat macam ni? Pegawai mana? DPP yang mana? Kerana anda sendiri tidak mengetahui perkara ini, anda bukan seorang peguam.

Rafiq: (Suruh) buat apa?

Gobind: Untuk hadir ke mahkamah dan melupakan Fasal 24 dan memberi tumpuan kepada kertas cadangan?

Rafiq: Tiada siapa yang menyuruh saya melakukan ini.

Gobind: Saya menyatakan kepada anda bahawa bukti anda hari ini sangat mencurigakan. Jika aduan anda adalah (Perkara) 24.8, itu adalah perkara pertama yang anda akan tunjukkan di mahkamah pagi ini, bukan?

Rafiq: Ya.

Gobind: Jadi anda sedang membetulkannya.

Rafiq: Tidak.

Gobind: Sudah tentu anda akan mengatakan tidak, tetapi itu adalah sesuatu yang akan diputuskan oleh mahkamah.

Semalam, bekas penolong setiausaha Pemuda Bersatu Ahmad Redzuan Mohamed Shafi berkata walaupun mengeluarkan dana parti sahaja bukanlah satu kesalahan, namun jika wang itu dibelanjakan tanpa kelulusan terlebih dahulu ia adalah kesalahan.

Prosiding di hadapan Azhar akan bersambung pagi esok.

Syed Saddiq sebelum ini minta dibicarakan di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan penyelewengan membabitkan RM1.12 juta daripada Pemuda Bersatu.

Ahli Parlimen Muar itu juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan pengubahan wang haram.

Empat pertuduhan itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.