Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pemilihan syarikat ambil pekerja Bangladesh: 'Tiada tangkapan setakat ini'

SPRM setakat ini belum membuat sebarang tangkapan berkaitan siasatan terhadap dakwaan kejanggalan dalam pemilihan 25 syarikat Bangladesh untuk merekrut pekerja negara itu ke Malaysia.

Namun, sumber yang tahu berkenaan perkara itu berkata SPRM mungkin menahan "beberapa individu" untuk membantu siasatan, susulan laporan yang dibuat Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang awal minggu ini.

"SPRM telah menerima beberapa aduan rasuah dan penyalahgunaan kuasa daripada beberapa NGO yang berkaitan," kata sumber itu.

Malaysiakini difahamkan siasatan SPRM akan memberu tumpuan kepada peranan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri dalam menguruskan pengambilan pekerja asing bukan saja dari Bangladesh, tetapi dari 12 negara lain.

Terdahulu, pengasas Bestinet Mohd Amin Abdul Nor dan pegawai Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dilaporkan antara beberapa individu yang disoal siasat SPRM semalam.

Menurut sumber itu lagi, semalam SPRM juga telah menyerbu beberapa syarikat di Kuala Lumpur dan Selangor, milik seorang individu bergelar "Datuk Seri" yang didakwa terlibat dalam pengambilan pekerja dari Bangladesh.

Dia berkata, individu itu dipercayai mengawal majoriti 25 syarikat Bangladesh yang terpilih untuk mengendalikan pengambilan pekerja dari negara itu.

Kesemua syarikat juga dikatakan terlibat dalam membangunkan sistem berpusat untuk menguruskan pendaftaran pekerja asing.

"Sistem ini telah dipersetujui penggunaannya oleh kerajaan Malaysia pada tahun 2015 dan melibatkan perjanjian persefahaman dengan beberapa negara termasuk Bangladesh," katanya.

Bestinet sebelum ini menafikan mempunyai kaitan dengan mana-mana syarikat tersebut, seperti didakwa pemain industri buruh di Malaysia dan Bangladesh.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan juga menafikan dakwaan yang mengaitkan Amin dan Bestinet dengan satu "sindiket" membekalkan tenaga kerja dari Bangladesh ke Malaysia.