SPRM siasat Bestinet isu pemilihan 25 syarikat ambil pekerja Bangladesh
Pengasas Bestinet, Mohd Amin Abdul Nor antara beberapa individu yang disoal siasat SPRM semalam, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan penyelewengan pemilihan 25 syarikat Bangladesh sebagai ejen merekrut pekerja negara itu ke Malaysia.
Akhbar Bangladesh, The Business Post memetik sumber diplomatik dari Kuala Lumpur sebagai berkata, Amin bersama beberapa pegawai syarikat yang lain. disoal siasat di pejabat Bestinet Sdn Bhd (Bestinet) di Cyberjaya.
Laporan itu berkata Amin antara lain disoal mengenai dakwaan hubungan rapatnya dengan Menteri Sumber Manusia M Saravanan, berhubung proses pemilihan 25 syarikat sebagai ejen merekrut pekerja asing ke Malaysia.
Bestinet melalui wakil luar berkata: "Kami akan memberikan kerjasama kepada semua agensi kerajaan dan kami tidak akan mengulas sebarang perkara yang berkaitan dengan agensi."
Bestinet adalah syarikat yang membekalkan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), iaitu platform dalam talian yang digunakan untuk menguruskan pengambilan pekerja asing.
Turut sama disoal siasat SPRM adalah pegawai di Suruhanjaya Tingginya di Kuala Lumpur, Md Nazmus Sadat Salim.
“Mereka ingin tahu sama ada kami telah menulis apa-apa surat kepada Kementerian Sumber Manusia Malaysia yang memberikan senarai 25 agensi.
"Kami berkata kami menyediakan senarai lebih 1,500 agensi. Kami juga berkata kami tidak terlibat dalam memilih 25 agensi itu," kata Nazmus seperti dipetik The Business Post.
Sumber Suruhanjaya Tinggi Bangladesh turut mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa satu pertemuan telah diadakan melibatkan Nazmus dan SPRM semalam.
Dakwaan monopoli
Malaysiakini telah menghubungi SPRM untuk mendapatkan pengesahan dan perkembangan siasatannya susulan laporan yang dibuat oleh Pemuda PKR Pulau Pinang semalam.
Setiausaha Biro Undang-Undang Pemuda PKR, Darwin Lim Chee Chien semalam berkata pihak SPRM Pulau Pinang akan merujuk laporan itu ke pasukan di ibu pejabat suruhanjaya di Putrajaya yang menyiasat dakwan kejanggalan yang dibangkitkan sejak pemeteraian memorandum persefahaman antara Malaysia dan Bangladesh berhubung pekerja asing, pada Disember lalu.
Menurut Lim, laporan mereka membngkitkan dakwaan monopoli dalam proses merekrut pekerja, integriti syarikat yang terlibat dan dakwaan rasuah dalam proses pemilihan syarikat.
Terdahulu, walaupun berdepan tekanan daripada pemain industri buruh supaya pasaran dibuka kepada semua agensi pengambilan berdaftar di Bangladesh, Saravanan mempertahankan hak Malaysia untuk membuat keputusan muktamad dan mengehadkan bilangan ejen yang dibenarkan menghantar pekerja ke Malaysia kepada 25 ejen dan 250 subagen.
Saravanan turut menafikan dakwaan yang mengaitkan Bestinet dan Amin dengan satu "sindiket" membekalkan tenaga kerja Bangladesh ke Malaysia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai