KDN gerakkan agensi koordinasi bantuan di Baling
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggerakkan semua agensi di bawahnya menerusi Op Bantu Baling bagi mengkoordinasi bantuan dan operasi menyelamat mangsa tragedi banjir di Baling, Kedah.
Menterinya Hamzah Zainudin berkata Op itu diketuai Ketua Polis Kedah CP Wan Hassan Wan Ahmad melibatkan pelbagai agensi di bawah KDN antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta Jabatan Penjara Malaysia.
Dia berkata 164 pegawai serta anggota PDRM telah diatur gerak manakala sebanyak 44 aset kenderaan serta peralatan kecemasan PDRM dihantar ke lokasi bencana termasuk empat bot, lapan lori dan tiga kenderaan pacuan empat roda.
“Seramai 46 anggota Rela juga dikerahkan untuk membantu mangsa banjir di kawasan yang terlibat dan ditugaskan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan semalam.
Hamzah berkata orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03-2266 3444 / 03-2266 3451 atau talian MERS 999.
Insiden banjir dan fenomena kepala air yang berlaku pada kira-kira empat petang dua hari lalu di Baling telah mengakibatkan tiga nyawa terkorban dengan tiga PPS dibuka bagi menempatkan lebih 1,400 mangsa banjir.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai