Bekas timbalan presiden MIC meninggal dunia
Bekas timbalan presiden MIC S Subramaniam meninggal dunia pada usia 78 tahun.
Anak lelakinya S Sunther berkata Subramaniam meninggal dunia dengan aman dalam tidurnya sekitar jam 8 malam pada 5 Julai (Selasa), seperti dilaporkan The Star Online.
Sunther berkata bapanya terlantar di rumah selama hampir 11 tahun selepas dia diserang angin ahmar pada November 2011.
Subramaniam merupakan timbalan presiden MIC paling lama berkhidmat, dari 1979 hingga 2006, sebelum dia ditewaskan oleh G Palanivel pada pemilihan parti 2006.
Mendiang juga pernah berkhidmat dua penggal sebagai ahli parlimen Damansara antara 1974 hingga 1982 dan empat penggal lagi sebagai ahli parlimen Segamat antara 1982 hingga 2004.
Subramaniam merupakan timbalan menteri di bawah tiga bekas perdana menteri yang berbeza, iaitu Hussein Onn, Dr Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi.
Upacara pengebumian mendiang akan diadakan di rumah keluarganya di Seksyen 16, Petaling Jaya pada 7 Julai (Khamis).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai