Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tak betul - Annuar ganding Ismail Sabri hadapi pemilihan Umno

Ketua Umno Bahagian Ketereh Umno Annuar Musa menafikan khabar angin dia berganding bahu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam pemilihan parti akan datang.

Ketika ditanya pemberita, Annuar menafikan sebarang perbincangan sebelum ini mengenai kerjasama sedemikian antara kedua-dua mereka.

"Kami tak pernah bincangkan tentang ini. Saya tahu sesetengah orang menyebarkan barisan (kepimpinan) dan perkara seperti itu.

"Saya tak ada banyak masa untuk memikirkan semua perkara itu, tetapi kami tidak pernah duduk bersama dan membincangkan tentang barisan kepimpinan dalam pertandingan (parti).

"Kami mempunyai masa yang sangat terhad, dengan begitu banyak yang perlu dilakukan.

“Begitu banyak kerja yang perlu dibuat. Jadi, susah macam nak kata, saya pun tak tahu,” kata Annuar hari ini selepas majlis penyampaian anugerah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Annuar sebelum ini pernah bertanding jawatan timbalan presiden Umno pada 2018.

Khabar angin itu mula-mula muncul dalam ruangan yang disiarkan oleh The Star semalam, yang mendakwa wujud pelbagai kumpulan kepimpinan dalam menghadapi pemilihan Umno.

Semalam, Ismail Sabri, yang juga naib presiden Umno, berkata parti itu berharap untuk mendengar daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai cadangan meminda perlembagaan parti menjelang 16 Julai.

Umno telah menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan berikutan berakhirnya penggal 2018/2021.

Tempoh tamat pada 30 Jun 2021 - oleh itu, pengundian untuk penggal 2021/2023 akan datang mesti diadakan sebelum 30 Disember akhir tahun ini.

Konsensus tangguh pemilihan

Pada Mac, perhimpunan agung Umno mencapai kata sepakat untuk menangguhkan pemilihan sehingga enam bulan selepas pilihan raya umum yang akan datang. Ini bagi membolehkan Umno menumpukan perhatian menjelang PRU15.

Bercakap mengenainya, Annuar berkata sudah dua bulan parti itu mencapai kata sepakat semasa perhimpunan agung Umno.

“(Kelulusan ROS selewat-lewatnya 16 Julai), saya harap begitu kerana Umno telah meluluskan resolusi itu semasa mesyuarat agung.

"Sudah kira-kira dua bulan jadi kami berharap untuk mendapatkan keputusan itu agar Umno terus dapat bergerak ke hadapan," kata Annuar.

Tegasnya, ROS mesti menjawab kerana ia berdasarkan akta pertubuhan dan perlembagaan Umno

“Apa yang kita putuskan semasa perhimpunan tidak akan berkuat kuasa sehingga dan melainkan ROS memberikan kelulusan. Jadi mereka tidak wajar berdiam diri. Mereka mesti memberi jawapan,” katanya

Ketika ditanya jika Umno bersedia untuk menghadapi pemilihan kepimpinan, Annuar berkata Umno memang sentiasa bersedia untuk pertandingan sebegitu.

Bagaimanapun, dia berkata permintaan Umno supaya pemilihan dijalankan enam bulan selepas PRU15.

"Itu permintaan kita tetapi kuasa terletak pada ROS, jadi kita tunggu. Insyallah," katanya.

[Baca berita asal]