Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Sekarang warga asing pun nikmati subsidi ayam, kata PM

Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pengurangan subsidi harga ayam dibuat kerajaan bagi membolehkan ia disalurkan secara terus kepada rakyat melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Perdana Menteri berkata, ketika ini subsidi harga ayam yang diberikan kerajaan bukan saja dinikmati rakyat negara ini, malah juga dikongsi warga asing.

Secara tidak langsung, katanya, warga asing yang bekerja di negara ini turut mendapat subsidi harga ayam yang sepatutnya hanya dinikmati warganegara Malaysia.

"Kalau kita bagi subsidi ayam, bukan rakyat Malaysia saja untung. Pekerja asing juga dapat... Rohingya pun beli ayam subsidi.

"Sebab itu kita bagi duit BKM, kita tak nak bagi warga asing dapat faedah subsidi.

"Kita ambil sikit (kurangkan) bagi terus pada rakyat (melalui BKM), dulu (subsidi) RM1.40 sen kini RM1.20 sen," katanya ketika berucap pada program kenduri rakyat sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kampung Gajah, Pasir Salak petang tadi.

Pada 29 Jun lalu, kabinet memutuskan untuk tidak mengapungkan harga ayam dan meneruskan subsidi, serta menetapkan harga siling runcit ayam standard pada RM9.40 sekilogram bagi Semenanjung Malaysia.

Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata mesyuarat Jemaah Menteri juga bersetuju menetapkan harga siling runcit telur ayam bagi gred A pada 45 sen/biji; gred B (43 sen/biji) dan gred C (41 sen/biji) di Semenanjung Malaysia.

Penetapan harga siling bagi ayam standard dan telur itu berkuat kuasa mulai 1 Jul.

Ismail Sabri berkata dengan pengurangan subsidi itu, kerajaan boleh menggunakan wang yang dijimatkan untuk menambah jumlah BKM kepada rakyat.

Katanya, kerajaan pimpinannya memberi BKM sehingga RM2,600 setahun untuk kumpulan sasar.

Tambah Ismail Sabri lagi, jumlah BKM mungkin ditambah sekiranya isu peningkatan harga barangan terus berlanjutan.