Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Farhash: Kenapa undi dalam talian tiada audit forensik?

Farhash Wafa Salvador Murbarak yang bertanding jawatan naib presiden PKR mempersoal ketiadaan audit forensik bagi pengundian dalam talian (PAT), seperti yang dilakukan terhadap proses pengundian secara fizikal pemilihan PKR.

Katanya, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) sepatutnya melakukan audit forensik terhadap pengundian secara fizikal dan PAT.

"Mengapa hanya dilakukan terhadap pengundian secara fizikal sahaja, bukan PAT?

"Apakah kepastian tidak ada kepincangan dalam PAT. JPP harus jawab," katanya kepada Malaysiakini sebagai mengulas keputusan JPP membuat audit forensik terhadap pengundian secara fizikal.

Ini Malaysiakini melaporkan bahawa audit forensik mendapati berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei lalu.

Perkara itu disahkan oleh pelbagai sumber dalam parti kepada Malaysiakini baru-baru ini.

Untuk rekod, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sebelum ini bersetuju dengan cadangan JPP parti itu mengenai keperluan melakukan audit forensik ke atas keputusan tidak rasmi pemilihan parti.

Pemilihan PKR kali ini diadakan secara campuran iaitu gabungan PAT dan pengundian secara fizikal. JPP menerima lebih 1,800 aduan ekoran pengumuman keputusan tidak rasmi pada 30 Mei lalu.