Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Logo hari kebangsaan berkonsepkan ‘WiFi’ jadi bidasan warga maya

Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini mempamerkan logo hari kebangsaan tahun ini yang berkonsepkan jalur liputan internet dengan tema ‘Keluarga Malaysia teguh bersama’ di laman media sosialnya.

Logo tersebut berlatarbelakangkan warna putih, dengan lambang jalur liputan internet yang berwarna seakan jalur gemilang - merah, kuning dan biru. Ia turut memaparkan gambar rakyat Malaysia pada tulisan tanda pagar ‘Keluarga Malaysia teguh bersama.’

Bagaimanapun, logo yang dianggap amat ringkas itu dikritik oleh warga maya yang menyifatkannya sebagai logo WiFi dan ada juga menganggap rekaan logo tersebut seperti tidak bersungguh-sungguh. Ada juga pengguna media sosial yang mempersoalkan kos untuk mereka logo tersebut.

Malah, ada juga yang sempat meninggalkan pesanan supaya menggesa syarikat telekomunikasi (telco) membaiki kualiti perkhidmatan mereka terhadap pengguna.

“Logo tahun ini pula berkonsepkan jalur liputan Internet melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.

“Ia juga melambangkan kebersamaan, komited untuk terus maju ke hadapan serta keberadaan teknologi terkini yang menjadi penghubung kehidupan ekonomi rakyat,” petik kenyataan kementerian tersebut.

Ia menyebut, tema tersebut menjadi pilihan kerana ia selari dengan konsep keharmonian keluarga Malaysia, yang turut diperkenalkan oleh menterinya Annuar Musa, yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari kebangsaan dan Hari Malaysia 2022.