Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pasukan khas tangani inflasi hanya 'berlakon' - Khalid

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad hari ini mengkritik pasukan khas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk menangani inflasi dengan menyifatkannya sebagai “lakonan”.

Menurut ahli Parlimen Shah Alam itu, tidak masuk akal apabila barisan Kabinet membincangkan masalah yang diciptanya sendiri, melalui penarikan subsidi.

“Kenaikan harga barang adalah hasil daripada dasar yang ditetapkan oleh kerajaan. Lalu kamu (kerajaan) tubuhkan taskforce diketuai oleh anggota yang merupakan punca kepada masalah ini.

“Sepatutnya sebelum dibuat keputusan untuk nak tarik balik subsidi dan sebagainya, tubuhkan jawatankuasa dulu, bincang dulu.

“Ini bila kamu dah timbulkan masalah, kamu berlakon untuk selesaikan masalah. Sedangkan masalah itu kamu juga yang timbulkan. It doesn't make sense (tak masuk akal),” katanya kepada pemberita selepas berhimpun di hadapan Masjid Jamek di Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini.

‘Himpunan Barang Naik’ itu diadakan selepas solat Jumaat itu dihadiri sekitar 50 orang. Manakala antara pemimpin Amanah yang turut menyampaikan ucapan ringkas adalah Hatta Ramli, Adly Zahari, Sany Hamzan, Faiz Fadzil dan anggota jawatankuasa tertinggi pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali.

Pada 29 Jun, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kabinet memutuskan untuk menubuhkan pasukan petugas khas yang akan ditugaskan mengumpul maklumat daripada semua kementerian, agensi dan orang ramai berkaitan bagi merangka dan menyelaras strategi bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi.

Pasukan petugas khas itu diketuai Annuar serta beberapa anggota kabinet iaitu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Semalam, Pengerusi DAP Lim Guan Eng turut mengulas berhubung pasukan khas tersebut dengan mempersoal keputusan Ismail Sabri kerana tidak mempengerusikan sendiri “Pasukan Khas Jihad” yang ditubuhkan kerajaan bagi menangani inflasi.