Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Arab Saudi sambut raya haji pada Sabtu, 9 Julai

Kerajaan Arab Saudi mengumumkan Hari Arafah, kemuncak ibadah Haji umat Islam, jatuh pada hari Jumaat 8 Julai ini dan Hari Raya Aidiladha di Arab Saudi akan disambut keesokannya pada Sabtu 9 Julai.

Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik kenyataan Mahkamah Agung negara itu melaporkan pengumuman itu dibuat selepas anak bulan Zulhijjah dilihat di balai cerap Tamir, Arab Saudi pada petang Rabu.

Hari Arafah atau Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini dianggarkan sejuta jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di kawasan bukit berbatu yang dikenali sebagai Bukit Arafah dan kawasan lapang sekitarnya, bermula terbit fajar 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar hari berikutnya.

Tahun ini menyaksikan seramai 14,306 jemaah haji Malaysia berhimpun untuk berdoa dan memohon keampunan Allah SWT di Bukit Arafah, kira-kira 22 kilometer dari Mekah.

- Bernama