Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hans Isaac dahului pemilihan ketua cabang PKR Ampang

Pemilihan semula cabang PKR Ampang yang diadakan semalam menyaksikan pelakon Hans Isaac mendahului pencabarnya bagi jawatan ketua cabang berkenaan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi di laman web pemilihan parti itu, Hans memperoleh 748 undi, manakala seorang lagi selebriti, Altimet mengekori rapat dengan memperoleh 746 undi.

Sebelum pemilihan semula diadakan, Hans memperoleh undi kedua tertinggi di belakang Daing Muhammad Reduan Bachok.

Daing menerima 942 undi ketika itu, manakala Hans mendapat 609 undi dan Altimet, atau nama sebenarnya Syed Ahmad Abdul Rahman, di tempat ketiga dengan 589 undi.

Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing terlibat dalam kegiatan "membeli undi".

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Zaliha Mustafa dilaporkan berkata pemilihan semula itu perlu diadakan kerana kemenangan Daing tidak sah.

Daing juga dilarang bertanding dalam pemilihan semula kali ini.

Hans, 51, menyertai PKR pada 2020 dan sebelum ini terdapat spekulasi bahawa pelakon itu akan bertanding di kawasan parlimen Ampang pada pilihan raya umum ke-15.

Altimet, 43, menyertai parti itu pada April tahun lalu, bersama rakan artis Afdlin Shauki.

Pemilihan semula itu turut menyaksikan tiga lagi calon bertanding jawatan ketua cabang PKR Ampang iaitu Abdullah Md Zain, Sam Hoo Wai, dan Abdul Latif Shaari, manakala seorang lagi calon Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri daripada bertanding.