Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suhakam tak dapat befungsi tanpa pesuruhjaya baru - bekas pesuruhjaya

Bekas pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai mempersoalkan kelewatan dalam melantik ahli baru suruhanjaya hak asasi manusia.

Dia berkata Malaysia mungkin boleh kehilangan kerusi dalam Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jika Putrajaya gagal melantik pesuruhjaya baru segera.

“Tanpa pesuruhjaya, anda tidak boleh mempunyai Suhakam yang berfungsi.

“Jangan lupa, ki taberada dalam Majlis Hak Asasi Manusia (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan kita bekerja keras untuk mendapatkan kerusi itu.

“Jika ini (kelewatan pelantikan) berterusan, lain kali kita akan kehilangan kerusi di sana," katanya kepada pemberita selepas forum Majlis Peguam mengenai Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) semalam.

Tiada nama yang berpotensi

Mah (gambar atas) adalah antara lima anggota yang telah menamatkan penggal kedua mereka di suruhanjaya itu.

Empat lagi ialah Jerald Joseph, Nik Salida Suhaila Nik Saleh, Lok Yim Pheng dan Godfrey Gregory Joitol.

Kelima-lima mereka memulakan perkhidmatan mereka sebagai pesuruhjaya Suhakam pada 2016 semasa pentadbiran perdana menteri Najib Abdul Razak ketika itu.

Setiap penggal berlangsung selama tiga tahun. Seksyen 5(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta Suhakam) tidak membenarkan penggal ketiga.

Mah berkata dia tidak pernah mendengar nama berpotensi disebut untuk penggal baru itu.

“Ini bukan kali pertama kerana tiga tahun lalu… terdapat juga kelewatan kira-kira dua bulan.

"Adakah ia satu kebetulan atau sesuatu yang disengajakan?" soalnya.

Pelantikan ahli

Anggota Suhakam dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor perdana menteri dengan berunding dengan jawatankuasa pelantikan yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha kerajaan.

Menurut Seksyen 11 Akta Suhakam, jawatankuasa itu juga mesti terdiri daripada pengerusi Suhakam dan tiga anggota masyarakat sivil yang mempunyai pengalaman praktikal dalam hal hak asasi manusia, yang dilantik oleh perdana menteri.

Dalam kitaran sebelumnya, terdapat insiden di mana terdapat jurang beberapa bulan sebelum kumpulan pesuruhjaya baru dilantik.

Dua minggu lalu, kumpulan hak asasi manusia antarabangsa berkata kelewatan dalam pelantikan pesuruhjaya Suhakam telah memberi kesan serius kepada keupayaan Suhakam untuk mempertahankan hak asasi manusia di Malaysia.

Mereka juga menuntut jawapan mengapa laporan tahunan Suhakam 2021 masih belum dibentangkan di Parlimen.