Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Australia kenang detik sukar keluarga di Sabah

Menteri Luar Australia, Penny Wong, hari ini menganggap detik dia kembali ke negara ini buat pertama kali sebagai seorang menteri merupakan suatu "keistimewaan luar biasa" serta "penghormatan" yang sangat besar buatnya.

Wong yang dilahirkan di Kota Kinabalu hampir 54 tahun lalu berkata neneknya - yang digelarkannya sebagai Poh-Poh - mungkin tidak pernah terbayangkan detik berkenaan.

"Namanya Puan Lai Fung Shim, dia seorang wanita keturunan Hakka," katanya semasa menyampaikan ucapan utama di suatu majlis rasmi di Kuala Lumpur hari ini.

Menceritakan sejarah silamnya Wong berkata neneknya itu serta keluarga mereka berada di Sandakan apabila negara ini mula dilanda perang.

Kebanyakan anggota keluarga mereka, kata Wong, terbunuh dalam perang itu dan Lain bersendirian membesarkan anak-anaknya dalam keadaan yang sangat sukar.

“Dia hampir buta huruf, penyayang, merendah diri dan orang yang paling kuat yang pernah saya kenali.

“Semasa berdepan detik kesukaran, saya akan terkenang kepadanya dan memikirkan apa yang dia terpaksa tanggung.

"Keazamannya untuk terus hidup, dan untuk menyelamatkan diri dan anak-anaknya adalah sumber kekuatan buat saya setiap hari," katanya.

Lapan tahun di Kota Kinabalu

Wong dilahirkan pada 5 Nov 1968 hasil perkongsian hidup pasangan wanita Australia dan lelaki Cina Malaysia. Dia mendapat pendidikan di Scotch College di Adelaide, sebelum melanjutkan pengajian dan mendapat kelulusan ijazah sarjana muda di University of Adelaide.

Sebelum menyertai politik, Wong mempunyai kerjaya sebagai peguam dan penasihat politik.

Dia mejadi senator untuk Australia Selatan sejak 2002 dan menjadi pemimpin senat untuk Parti Buruh sejak 2013. Semasa Australia dipimpin Kavin Rudd, Wong dilantik menjadi orang pertama dilantik sebagai Menteri Perubahan Iklim dan berkhidmat selama tiga tahun sejak 2007.

Kevin Rudd

Wong kemudian menjadi Menteri Kewangan antara 2010 hingga 2013 dalam kerajaan Julia Gillard, serta ketika Rudd sekali lagi menjadi perdana menteri.

Dia merupakan orang Asia pertama menyertai kabinet Australia.

Berkisah mengenai bapanya, Francis Wong, dia berkata lelaki terbabit adalah pelajar yang pintar dan berjaya mendapat biasistwa Colombo Plan untuk mendalami bidang seni bina di Universiti Adelaide.

Kata Wong ia menjadi peluang untuk membantu bapanya keluar daripada kemiskinan dan membuka jalan kepada lebih banyak peluang.

Semasa di Australia itulah, katanya, Francis bertemu dengan wanita yang kemudian menjadi isterinya dan mereka berpindah ke Kota Kinabalu sebelum Wong dilahirkan.

Kata Wong, dia menghabiskan masa selama lapan tahun pertama hidupnya di Kota Kinabalu.

“Bapa membawa balik bersamanya ilmu dan kemahiran. Dia menjadi seorang tokoh terkenal di Kota Kinabalu, kemudian mereka bentuk bangunan awam yang terkenal - walaupun sedihnya, saya diberitahu ramai yang telah digantikan.

“Nilai pendidikan itu tidak pernah meninggalkanya. Dia selalu memberitahu saya: orang boleh mengambil segala-galanya daripada kamu, tetapi mereka tidak boleh mengambil pendidikan kamu,” katanya.

Dalam ucapannya juga Wong turut bercakap mengenai pentingnya hubungan di antara Australia dan Malaysia diperkukuhkan, serta meneroka potensi untuk kedua-dua negara boleh terus bekerjasama.

Selepas lawatannya ke Kuala Lumpur hari ini, Wong akan menuju ke Kota Kinabalu dan akan menghabiskan sebahagian besar masa lawatannya di Malaysia di situ.

[Baca berita asal]