Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Peniaga dipenjara 3 tahun lepas sebabkan budak OKU kritikal dek dadah

Seorang peniaga dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini selepas mengaku bersalah mendedahkan seorang kanak-kanak lelaki kepada dadah jenis methamphetamine dan heroin pada 18 Jun lalu.

Kejadian itu didakwa berlaku di kawasan tepi sungai di Kampung Sri Jaya, Kuala Krai.

Mohd Shahrizuan Alias, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, dia sebagai orang yang mempunyai kuasa memelihara budak berusia tiga tahun itu - yang juga orang kurang upaya (OKU) - mendedahkan mangsa kepada bahan yang membahayakan tubuh badan iaitu methamphetamine dan heroin.

Tindakan itu menyebabkan budak terbabit mengalami drug toxicity.

Mohd Shahrizuan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum dibawah seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan timbalan pendakwa raya Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohon hukuman ringan

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas Mohd Shahrizuan dengan mengambil kira kesalahan itu yang mendedahkan mangsa kepada perkara berbahaya.

Katanya, sebagai orang dewasa Mohd Shahrizuan sepatutnya tidak cuai dengan meletakkan sesuatu yang boleh membahayakan kanak-kanak sehingga mangsa mengalami drug toxicity, selain mangsa seorang OKU.

"Mangsa ialah seorang OKU yang memerlukan pemerhatian yang lebih berbanding kanak-kanak normal dan kecederaan serius akibat kekurangan oksigen dalam badan," katanya.

Sementara itu Mohd Shahrizuan yang juga bapa sepupu kepada mangsa memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan perlu menyara keluarga dan mempunyai dua anak kecil.

Mahkamah kemudian menghukum tertuduh dengan dengan penjara tiga tahun dari tarikh ditangkap dan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin selama tiga tahun.

Selain itu mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kerja khidmat masyarakat selama 180 jam.

Sebagai rekod, media sebelum ini melaporkan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun kritikal akibat terdapat kandungan dadah dalam badan dan kini masih dalam rawatan di hospital.