Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PAS saran tiga langkah atasi isu kos sara hidup

Susulan peningkatan kos sara hidup yang kian meningkat, PAS hari ini menyarankan tiga langkah bagi mengatasi masalah tersebut, termasuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti pembangkang.

Ketua penerangannya, Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan menggesa supaya Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob segera bertindak kerana masalah itu akan bertambah parah sekiranya tiada jalan penyelesaian yang holistik.

“Mengadakan perbincangan bersama dengan semua ketua parti politik daripada pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk mencari solusi terbaik dalam mengatasi peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang.

“Mengkreditkan secara bersasar bantuan tunai bulanan melalui kad pengenalan atau e-dompet kepada golongan B40 dan sebahagian M40 untuk membeli barang keperluan harian dan langkah ini adalah selaras dengan prinsip Islam,” katanya.

Khairil Nizam berkata, kerajaan perlu memungut dan mengagihkan kekayaan secara adil dan saksama.

“Pemberian bantuan tunai bulanan secara bersasar ini akan dapat membantu meringankan beban rakyat yang jelas amat terkesan disebabkan oleh krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup.

“Mengadakan sidang parlimen khas bagi membincangkan isu ini secara mikro untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penyelesaian dari ahli parlimen yang lebih dekat dengan rakyat di kawasan mereka,” katanya.

Dia turut menyeru semua pemimpin politik untuk bersama menyumbangkan idea dan tenaga dalam usaha membantu kerajaan menyelesaikan krisis kenaikan harga barang dan peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Jadikan kesejahteraan rakyat keutamaan dalam masa sukar ini dan lupakan perbalahan yang merugikan negara,” katanya.