Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hakikatnya orang Kelantan kaya-kaya, kata Sanusi

Walaupun Kelantan menjadi antara negeri termiskin di Malaysia, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sebaliknya melihat perkara itu dari perspektif yang berbeza.

Menurut Sanusi, di sebalik keadaan itu kuasa beli rakyat di Kelantan adalah tinggi sekali gus memberi petanda penduduk di negeri terbabit sebenarnya terdiri daripada golongan kaya.

"Kuasa beli di Kelantan tinggi walaupun orang kata negeri Kelantan miskin, tapi saya tahu rakyat Kelantan kaya.

"Hangpa (kalian semua) jangan tak mahu mengaku pula rakyat Kelantan kuasa belinya besar.

"Sebab itu pasar raya Mydin yang terbesar di Malaysia didirikan di Kota Bharu. Kalau tak ada kuasa beli siapa nak datang buka pasar raya terbesar?" katanya ketika berucap di program bersama Urusetia Belia Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menambah, walaupun cara mengukur kadar kemiskinan yang diamalkan negara tidak menyebelahi Kelantan, namun ia bukan perkara yang perlu dimalukan.

Bahkan katanya penduduk Kelantan tidak perlu berasa malu dilabel sebagai orang susah atau miskin.

Pelaburan hampir RM70b

Menurutnya berdasarkan kadar keluaran dalam negeri kasar (KDNK) atau ukuran kemiskinan dan kekayaan yang digunakan dalam ekonomi tidak menyebelahi Kelantan, realiti adalah sebaliknya.

"Pada hakikatnya, orang Kelantan adalah orang yang kaya-raya," ujarnya.

Sehubungan itu Sanusi berkata, Kedah yang ditadbirnya juga akan berusaha mengikut jejak Kelantan.

"Insya-Allah Kedah akan mengikut jejak orang Kelantan walaupun Kedah dan Kelantan ini dari (segi) senarai kedudukan negeri-negeri berdasarkan pendapatan per kapita, kena tengok dari bawah. Di atas, negeri-negeri lain, kena tengok di bawah.

"Ada Sabah, Kelantan dan Kedah, tetapi alhamdulillah kita akan berusaha bersungguh-sungguh kita akan bawa sebanyak mungkin pelaburan dalam sektor industri datang ke Kedah dan menyediakan peluang-peluang pekerjaan," kata Sanusi.

Sementara itu mengulas prestasi Kedah, Sanusi berkata, negeri Jelapang Padi itu memecah rekod 60 tahun selepas mencatat nilai kemasukan pelabur berjumlah RM68.3 bilion pada tahun lepas.

Katanya kalau sebelum ini Kedah sukar walaupun untuk mendapatkan pelaburan bernilai RM2 bilion setahun kini keadaan sudah berubah.

"Tahun lepas kita telah mencecah RM68.3 bilion pelaburan masuk, tahun ini setakat bulan Jun sudah mencecah RM20 bilion.

"Yang ini pun Allah tolong kita, buat kerja betul-betul, bersunguh-sungguh, rezeki Allah punya urusan," katanya.