ULASAN | Tuntut semula 20,000 manuskrip Melayu lama di luar negara
ULASAN | Laporan media pada 20 Jun lalu telah mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir bin Mohamed mendesak kerajaan Malaysia untuk menuntut kembali wilayah kepulauan Riau termasuk Singapura.
Susulan itu, pada 23 Jun 2022, jurucakap Kementerian Luar Indonesia dilaporkan membantah ucapan tersebut seperti yang dilaporkan.
Beberapa jam kemudian, Mahathir telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa ucapan beliau itu diambil diluar konteks.
Dan, menerusi semakan rakaman audio visual ucapannya ketika memberikan ucap tama di Kongres ‘Aku Melayu – Survival Bermula’, jelas sekali bahawa tidak ada sebarang perkataan atau ucapan yang secara khusus mahu menuntut wilayah Riau mahupun Singapura oleh Mahathir.
Bagi saya, isu ini telah selesai dan tidak timbul apa-apa lagi pertikaian antara Malaysia dan lain-lain negara. Namun demikian, jika kita lihat perkembangan semasa mengenai isu kedaulatan wilayah, ia membawa beberapa mesej yang wajar diberi perhatian oleh rakyat dan kerajaan.
Pada Mei 2022, satu laporan telah dibentangkan oleh kerajaan kepada Istana Johor mengenai siasatan sebab-sebab kekalahan tuntutan ke atas Pulau Batu Putih kepada Singapura.
Mahathir juga ada menyentuh mengenai isu tersebut ketika ucap tama pada acara yang sama, mengenai masalah pertikaian Pulau Batu Putih yang berkait rapat dengan faktor rekod dan dokumentasi sejarah lampau.
Kelemahan dalam aspek pendokumentasian dokumen-dokumen penting sejarah negara yang tidak lengkap atau tidak betul menjadi faktor hingga menjejaskan usaha membuat tuntutan atau pertikaian mengenai kedaulatan sesuatu wilayah. Kes yang sama juga berlaku terhadap Pulau Sipadan malah wilayah Sabah termasuk kepulauan Spratly.
Dalam isu Pulau Batu Putih ini, agak sukar untuk menuding jari menyalahkan mana-mana pihak atau pemimpin kerana kelemahan yang berkait rapat dengan sejarah lampau, yang melibatkan kuasa-kuasa politik pada masa itu.
Dalam situasi ini, kuasa politik yang dimaksudkan ialah antara kerajaan kesultanan lama dengan kerajaan penjajah sama ada Inggeris, Belanda dan kuasa-kuasa lain yang pernah memerintah wilayah Nusantara ini iaitu di Tanah Melayu, Sumatera, Kepulauan Jawa, Temasik, Borneo dan Filipina.
Walaupun sejarah tidak lagi boleh diubah, namun usaha untuk meluruskan sejarah harus diambil serius oleh rakyat dan kerajaan. Kerana ini melibatkan identiti, ekonomi dan kedaulatan negara.
Menurut pakar bahasa Prof Dr Haji Awang Sariyan, berdasarkan kajian beliau terdapat lebih dari 20 ribu buah manuskrip Melayu lama yang bertebaran di pelbagai benua seperti di Asia, Eropah, Afrika, Amerika termasuk Oceania yang meliputi kira-kira 28 buah negara.
Menurut beliau lagi, di Belanda sahaja tersimpan ribuan buah manuskrip Melayu lama. Selebihnya ada tersimpan di perpustakaan negara Rusia, Jerman, Perancis, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Algeria, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Khazanah ini meliputi manuskrip sejarah politik, kebudayaan, sastera (bahasa), agama dan juga sumber-sumber bertulis mengenai kerajaan dan kesultanan pada masa itu.
Ini satu isu yang lebih penting daripada cadangan Perdana Menteri Ismail Sabri untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa Asean.
Sudah beberapa saranan dibuat oleh pakar dan cendiakawan agar satu usaha bersepadu oleh kerajaan menerusi kementerian luar, universiti, agensi dan pakar untuk menuntut kembali semua khazanah bangsa ini agar dikembalikan kepada kita.
Zaman itu, penjajah bukan sahaja membawa lari khazanah alam di bumi kita ini, malah semua bahan sejarah seperti rekod, manuskrip dan artifak turut dibawa lari hingga semua khazanah bangsa kita bertebaran di banyak negara-negara luar, seolah-olah bangsa dan wilayah kita ini tidak ada tamadun kerana semua rekod mengenainya tiada di sini. Apa yang tinggal hanya sejarah lisan yang akhirnya menjadi mitos yang diketawakan oleh segelintir kelompok di zaman ini.
Sejak 2017 dan terkini pada tahun 2022 ini, wakil kerajaan telah beberapa kali terpaksa berkampung di London hanya untuk mengkaji dokumen perjanjian Malaysia 1963. Bukankah keadaan ini ganjil?
Jika penjajah telah mengiktiraf Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah wilayah merdeka bernama Malaysia (setelah bergabung dengan wilayah Borneo Utara), mereka harus memulangkan kembali segala khazanah milik negara ini. Mereka tiada hak untuk menyimpan atau memilikinya.
Pada masa sama kerajaan harus bersungguh-sungguh menuntut segala dokumen penting ini kerana ia hak kita, hak rakyat.
Kita tidak mahu kehilangan lebih banyak wilayah atas sebab-sebab ini. Kehilangan sesebuah wilayah bererti kehilangan aset ekonomi. Khazanah ini juga mengandungi sejarah identiti bangsa kita. Kita tidak mahu lagi bergaduh tentang batik milik siapa, wayang kulit milik siapa, bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia. Dengan identitilah sebuah masyarakat menjadi kuat dan sebuah negara dapat dibentuk.
Dengan kembalinya khazanah bangsa kita ini, pakar-pakar kita akan dapat mengkaji dengan lebih mendalam sejarah bangsa dan negara ini. Analisis dari kajian ini pastinya memberi input berguna kepada negara. Kajian ini sama penting dengan kajian sains kesihatan dan sains angkasa. Semua ini demi memajukan dan membangunkan sebuah negara bangsa.
Saya ulang, sejarah tidak dapat diubah tetapi sejarah dapat diluruskan kembali agar bangsa ini dapat belajar daripadanya dengan lebih jujur dan adil.
Khazanah ini samalah dengan ‘Data Raya'. Zaman ini, siapa menguasai ‘Data Raya’ bermakna mereka berupaya untuk menguasai pasaran ekonomi. Hanya dengan memahami sejarah, kekuatan dan kelemahan kita boleh digilap dan diperbaiki.
Kerajaan harus mengembleng usaha yang serius untuk menuntut kembali khazanah ini dan dibawa pulang ke pangkuannya. Atau kerajaan tidak lagi berminat kerana mahu sejarah ditutup rapat-rapat dari diketahui oleh rakyat?
Walaupun kolek hanyut ke pulau
Kajang dipapas hingga ke petang
Walaupun adek di mulut harimau
Akan ku rampas ku bawa pulang
MAHDZIR IBRAHIM ialah ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai