Arul Kanda: Najib bimbang laporan audit 1MDB 'diputar belit secara politik'
Arul Kanda Kandasamy berkata salinan asal laporan audit 1MDB pasti akan dihantar ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) jika bukan kerana mesyuarat bertarikh 24 Februari 2016.
Bekas CEO 1MDB itu dalam keterangannya juga berkata, bekas perdana menteri Najib Razak bimbang laporan audit itu akan "diputar belit secara politik".
Dia yang juga merupakan tertuduh memberi keterangan lisan bagi perbicaraan kes laporan audit 1MDB terhadapnya dan juga Najib, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Pendakwaan berhujah yang keputusan untuk meminda laporan itu dibuat dalam mesyuarat tersebut, yang diadakan di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.
Selain Ali dan Arul Kanda, mereka yang hadir dalam mesyuarat itu adalah bekas ketua audit negara Ambrin Buang, bekas pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, bekas setiausaha sulit kanan Najib, Syukri Salleh, dan wakil dari Pejabat Peguam Negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.
Ketika pemeriksaan utama dengan timbalan pendakwa raya Gopal Sri Ram hari ini, Arul Kanda berkata dia menerima panggilan telefon daripada Najib sehari sebelum mesyuarat, yang memintanya untuk hadir.
Sri Ram: Dia ada jelaskan kenapa (perlu hadir mesyuarat)?
Arul Kanda: Ya, ada beberapa sebab yang diberikan Najib, antaranya untuk mempertahankan kepentingan syarikat (1MDB) dan berkenaan skop audit yang dibuat JAN dalam mengesahkan akaun 1MDB.
Arul Kanda berkata Najib bimbang kandungan laporan itu akan diputar belit dari perspektif politik.
Ketika Sri Ram bertanya jika panggilan telefon Najib telah mempengaruhinya ketika dalam mesyuarat, Arul Kanda mendakwa apa yang dia faham daripada panggilan itu adalah Najib bimbang laporan audit 1MDB mungkin "diputar belik secara politik".
"Berdasarkan pemahaman saya, ia menjejaskan Najib," katanya apabila Sri Ram bertanya berkenaan apakah pemahamannya berkenaan kebimbangan bekas perdana menteri itu.
Arul Kanda juga setuju apabila Sri Ram mengajukan bahawa jika bukan kerana mesyuarat pada 24 Februari itu, laporan audt 1MDB dengan Watermark 09 (salinan asal) akan dihantar ke PAC.
Terdahulu hari ini, hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan untuk menjadikan Arul Kanda sebagai saksi utama terhadap Najib.
Ia selepas Sri Ram berhujah yang Arul Kanda memiliki maklumat material yang dapat mengukuhkan kes terhadap Najib, termasuk berkenaan mesyuarat itu.
Hari ini, Arul Kanda berkata sebelum hadir ke pendengaran PAC berhubung isu 1MDB pada 1 Disember 2015, dia diarahkan untuk hadir ke pertemuan dengan pengerusi PAC ketika itu, Hasan Arifin.
Dia tidak mendedahkan siapa yang mengarahkannya untuk bertemu Hasan namun mendakwa pertemuan dibuat di rumah Ahmad Farid Ridzuan, pegawai khas Najib ketika itu.
Dalam pertemuan itu, katanya, dia memberikan penerangan berkenaan latar belakang 1MDB dan mengapa syarikat itu berdepan masalah kewangan.
Sri Ram: Anda ada terima sebarang arahan (ketika pertemuan) daripada sesiapa berkenaan bukti yang akan diberikan kepada PAC?
Arul Kanda: Tidak. Ia lebih kepada perkongsian daripada saya berbanding (sesiapa) memberitahu saya apa perlu dilakukan.
Sri Ram: Memandangkan anda akan beri bukti kepada PAC, apa tujuan bertemu Hasan?
Arul Kanda: Saya dapati agak aneh untuk buat pertemuan itu, tapi saya diarahkan untuk berbuat demikian jadi saya lakukannya.
Dalam prosiding sebelum ini, bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh mendakwa Najib mengarahkannya untuk hadir ke pertemuan sama dengan Hasan sebelum dia hadir ke pendengaran PAC.
Hari ini, Arul Kanda mendakwa Najib mengarahkannya untuk hadir ke beberapa ceramah berkenaan 1MDB menjelang PRU14.
Dia mendakwa Najib mahu dia menjelaskan isu yang dihadapi 1MDB, plan rasionalisasi syarikat, saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dan pelbagai siasatan yang dibuat.
Sri Ram: Adakah anda pertahan Najib ketika sesi ini?
Arul Kanda: Saya pertahankan kepentingan syarikat berdasarkan dokumen yang ada.
Menurutnya, setiap kali apabila hadirin bertanya tentang peranan Najib dalam isu 1MDB, dia akan merujuk kenyataan media yang dibuat peguam negara kertika itu, Apandi Ali yang membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai