Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas CEO 1MDB Arul Kanda kini jadi saksi terhadap Najib

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy diberikan kebenaran oleh mahkamah untuk menjadi saksi terhadap bekas perdana menteri, Najib Razak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memanggil tertuduh bersama itu bagi memberi keterangan terhadap bekas menteri kewangan itu dalam perbicaraan berkaitan laporan audit 1MDB.

Arul Kanda dilihat keluar dari kandang mahkamah dan berjalan ke arah kandang saksi, sambil disaksikan Najib dari kandang tertuduh.

Bekas CEO 1MDB itu mungkin diberikan pembebasan penuh daripada kes itu, namun bergantung kepada keterangan yang akan diberikan di mahkamah.

Sebelum ini, timbalan pendakwa raya Sri Ram berkata Arul Kanda memiliki maklumat penting yang boleh membuktikan kes terhadap Najib, termasuk berhubung mesyuarat pada 24 Feb 2016.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa keputusan untuk membuat pindaan kepada laporan audit 1MDB dilakukan semasa mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara ketika itu, Ali Hamsa.

Selain Ali dan Arul Kanda, individu lain yang hadir pada mesyuarat itu ialah bekas ketua audit negara, Ambrin Buang; bekas pegawai Jabatan Audit Negara, Saadatul Nafisah Bashir Ahmad; bekas ketua setiausaha sulit Najib, Shukry Salleh dan wakil Jabatan Peguam Negara ketika itu, Dzulkifli Ahmad.

Semasa perbicaraan, hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa Arul sepatutnya dibenarkan memberi keterangan bagi pihak pendakwaan kerana dia mengetahui sebarang komunikasi yang dikatakan antara dirinya dan Najib berhubung kes itu.

"Hakikatnya Arul Kanda adalah Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB pada masa itu dan telah menghadiri mesyuarat pada 24 dan 25 Feb 2016 adalah relevan dengan pertuduhan terhadap Mohd Najib," kata hakim itu.

Pihak pendakwaan sebelum ini berkata selain mesyuarat pada 24 Feb, mesyuarat lain turut diadakan pada 25 Feb 2016.

Zaini menegaskan bahawa sijil indemniti hanya akan dikeluarkan untuk Arul Kanda jika dia memberikan keterangan yang benar dan menyeluruh.

“Dia mesti bercakap benar, dan tidak lain hanyalah kebenaran seluruhnya, kerana dalam kata-kata Benjamin Franklin: Separuh kebenaran selalunya merupakan pembohongan yang besar.

“Jika mahkamah berpendapat bahawa Arul Kanda telah membuat keterangan yang benar dan menyeluruh, dia berhak mendapat Certificate Of Indemnity (Sijil Tanggung Rugi).

“Adalah wajar diulangi bahawa tidak kira sama ada keterangannya memihak kepada pihak pendakwaan atau pembelaan.

“Sepatutnya tiada bahaya untuk dia memberi keterangan untuk meminimumkan peranannya, kerana ketakutannya harus ditujukan untuk memastikan dia bercakap benar.

“Jika tidak, dia hilang keistimewaan untuk mendapatkan sijil tanggung rugi,” kata Zaini.

[Baca berita penuh]