Kos sara hidup: Mungkin masa untuk sejuta rakyat berhimpun - Sheikh Umar
Susulan kenaikan kos sara hidup - dan dikatakan bakal menjadi lebih tinggi tidak lama lagi - seorang pemimpin DAP melontarkan cadangan agar rakyat berhimpun beramai-ramai sebagai tanda protes.
Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Sheikh Umar Bagharib Ali berkata jika sejuta orang dapat dihimpunkan di tengah Kuala Lumpur, mungkin barulah kerajaan akan membuka mata mengenai kesusahan rakyat.
Ketika ini katanya pemimpin negara sedang lena sehingga lambat bertindak untuk menyelesaikan masalah yang menghimpit rakyat, justeru mereka perlu "dikejutkan".
"Apabila berhimpun, kita boleh menghantar isyarat kepada kerajaan.
"Bayangkan kalau sejuta rakyat berhimpun di ibu kota. Paling tidak kerajaan akan membuka mata. Sejuta rakyat perlu berhimpun untuk mengejutkan pemimpin negara daripada terus tidur," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah bekas Adun Paloh itu lagi rakyat mahu penyelesaian kepada isu yang menghimpit orang ramai, namun pemimpin negara terus bermain politik.
“Jadi, mungkin sekarang sudah masanya untuk rakyat turun ke jalan raya untuk melaungkan suara kita,” katanya.
Tambah Sheikh Umar kerajaan lebih gemar bercakap mengenai isu di sekitar kepentingan politik peribadi dan parti saja berbanding kesempitan hidup rakyat.
Katanya berhimpun adalah hak rakyat dalam negara demokrasi dan ia dijamin perlembagaan.
“Perhimpunan Bersih sudah diadakan lima kali. Perhimpunan-perhimpunan lain juga banyak kali kita adakan," katanya.
Kenyataan itu hadir sejurus selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub menafikan kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak secara keseluruhan hari ini.
Isu kenaikan harga barangan asas menjadi topik hangat sejak kebelakangan ini, di mana ia turut melibatkan barangan mentah, bahan makanan dan harga petrol.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai