Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Jumpa PKR: Azmin tak ingat temui siapa, pergi hotel mana

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali, berkata jadual hariannya yang sibuk menyebabkan dia tidak dapat mengingat hotel mana dikunjunginya dan siapa yang ditemui pada minggu lalu.

Ahli parlimen Gombak itu ditanya mengenai dakwaan dia bertemu dengan wakil PKR baru-baru ini dan sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.

Pertemuan itu, dakwa sumber PKR, berlangsung di Hotel Sheraton di Petaling Jaya.

“Sheraton Hotel? Saya pergi banyak hotel, saya tidak ingat hotel yang mana,” katanya seperti dipetik Malaysia Gazette di Sungai Rusa, Pulau Pinang hari ini.

Bekas timbalan presiden PKR yang mengetuai gerakan 10 ahli parlimen parti itu berpaling tadah sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada Feb 2020 itu juga dilaporkan berkata: “Ramai orang saya jumpa, jadi saya tidak ingat dengan siapa yang saya jumpa”.

Sejak akhir-akhir ini timbul khabar angin mendakwa Azmin dan beberapa ahli parlimen lain - yang kini berada di blok kerajaan - akan membuat pusingan U dengan mengetepikan parti baru mereka - Bersatu - untuk menyokong pembangkang.

Sebelum ini bekas naib presiden PKR yang dianggap rapat dengan Azmin, Zuraida Kamaruddin, sudah meninggalkan Bersatu dan hampir pasti menyertai parti baru, Parti Bangsa Malaysia.

Hari ini media juga melaporkan timbalan Zuraida di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin, menyatakan sudah membuat permohonan untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Kata Azmin dia juga menganggap dakwaan yang mengaitkannya dengan langkah menyertai semula PKR sebagai "tidak benar".

“Nama pun spekulasi, jadi ia tidak benarlah,” katanya dengan ringkas.