Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

13 ahli sindiket pinjaman tak wujud ditahan polis

Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket along dan memberi pinjaman tidak wujud yang turut melakukan khianat serta ugutan jenayah selepas menahan 13 individu dalam serbuan di sebuah kondomonium mewah di Perda dekat George Town pada 15 Jun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata kejayaan itu hasil serbuan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang pada 12.45 tengah hari ekoran laporan berkaitan kes khianat dan ugutan jenayah membabitkan sindiket tersebut.

"Sepasukan polis pada mulanya menyerbu kondominium itu kerana menerima maklumat berhubung kegiatan along, khianat, simbah cat dan ugutan jenayah yang dijalankan suspek yang tinggal di rumah tersebut.

"Semasa serbuan polis mendapati terdapat sembilan lelaki dan empat wanita di situ.

"Siasatan mendapati sindiket itu menjadikan kondominium tersebut sebagai tempat menjalankan kegiatan pinjaman tidak wujud dengan mengenakan yuran pemprosesan kepada mangsa yang mahu meminjam wang daripada mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily berdasarkan siasatan 13 suspek terbabit merupakan ahli sindiket yang berperanan menghubungi mangsa dengan menawarkan pinjaman tidak wujud.

Malah katanya setiap seorang daripada dibekalkan dengan skrip untuk memperdaya peminjam.

Kata Mohd Shuhaily hasil semakan mendapati 132 kertas siasatan membabitkan pinjaman tidak wujud dibuka hampir seluruh negara dengan kerugian direkodkan RM1.914 juta melibatkan sindiket itu.

Modus operandi sindiket tersebut katanya ialah mengiklankan pinjaman menerusi media sosial termasuk Facebook dan WhatsApp sebelum berhubung dengan mangsa untuk meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.

"Namun ada kes yang jumlah wang mahu dipinjam oleh mangsa tidak diberikan manakala mereka yang mendapat pinjaman akan diugut termasuk ada yang disimbah cat, dikhianat dan pelbagai lagi," katanya.

Mohd Shuhaily berkata berdasarkan siasatan, sindiket itu menjalankan kegiatan tersebut sejak tahun lepas dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain.

Kondominium mewah berkenaan, katanya, dihuni sejak empat bulan lepas.

Dalam serbuan itu polis merampas 27 unit telefon bimbit, komputer riba, sebuah kereta dan 10 buku nota tercatat nombor telefon serta nombor akaun mangsa.

"Tiga daripada suspek yang kesemuanya berusia 19 hingga 30 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah dan mereka direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Menurut Mohd Shuhaily mereka disiasat mengikut Seksyen 427 dan 420 Kanun Keseksaan.

- Bernama