Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA ADUN | Di mana empati dan sensitiviti Nazri?

KATA ADUN | Merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan bekas menteri pelancongan, seni dan budaya Nazri Abdul Aziz, juga merangkap Ahli Parlimen Padang Rengas berkaitan dengan bencana banjir yang boleh dijadikan sebagai tarikan pelancong melalui aktiviti volunteer tourism.

Kawasan dewan undangan negeri (DUN) Ketari adalah antara kawasan yang paling teruk terjejas oleh bencana banjir pada 17 Dis 2021 lalu.

DUN Ketari merangkumi kawasan peranginan Janda Baik dan beberapa lagi kawasan tarikan pelancong di dalam daerah Bentong.

Janda Baik adalah kawasan yang paling teruk terjejas. Ia juga kawasan pertama terjadinya banjir pada hari itu sebelum bencana merebak ke kawasan yang lain di dalam Bentong.

Sehingga kini, banyak tempat tarikan pelancong khususnya di Janda Baik masih tidak dibaik pulih.

Ia termasuklah kemudahan infrastruktur seperti jambatan dan jalan raya yang tidak dibaik pulih langsung oleh kerajaan negeri, kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan.

Memang benar, situasi pascabanjir - terutamanya beberapa hari selepas bencana berlaku - kami memerlukan ramai sukarelawan untuk membantu mangsa dalam kerja-kerja pembersihan.

Namun, adalah salah dari segi etika dan pemikiran jika kerajaan memandang hal ini sebagai satu lubuk pendapatan buat negara mahupun negeri.

Di manakah empati dan sensitiviti Nazri ketika menyuarakan pendapat itu untuk diambil kira oleh kerajaan?

Ke mana hilangnya belas simpati Nazri kepada mangsa banjir apabila dia seolah-olah meraikan kesusahan orang ramai dan musibah yang ditimpa oleh mangsa.

Saya menyokong idea dan pemikiran di luar kotak oleh mana-mana pihak yang boleh membantu pembangunan negara. Namun idea yang diutarakan Nazri pada hemat saya adalah idea seorang manusia yang jauh daripada realiti masyarakat.

Saya ingin menjemput mana-mana pihak yang sudi untuk turun ke kawasan DUN Ketari yang masih lagi tidak menerima bantuan baik pulih pascabanjir untuk mendengar sendiri keluhan mangsa-mangsa banjir ini.

Saya juga menjemput mana-mana pihak berdialog dengan semua mangsa banjir mengenai trauma yang mereka hadapi sebagai mangsa banjir.

Mungkin dengan cara ini pemimpin yang tuli dan buta hati boleh lebih memahami perasaan rakyat yang terkapai-kapai mencari langkah untuk menyambung sisa hidup mereka setelah seluruh harta benda dan kehidupan hanyut dibawa arus banjir.


YOUNG SYEFURA OTHMAN merupakan ADUN Ketari merangkap Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.