Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Mustahil saya, Azmin tinggalkan Bersatu kerana propaganda murahan'

Bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah, Mohd Rashid Hasnon, berkata mustahil untuk dia dan Azmin Ali meninggalkan parti baru mereka, Bersatu, yang sangat diyakininya "sejak hari pertama" penyertaannya.

Malah kata Mohd Rashid tindakan pihak tertentu menyebarkan khabar angin yang dia akan beralih ke 'bahtera' baru sekadar propaganda murahan untuk melemahkan parti terbabit.

Dia yang menjadi seorang daripada ahli parlimen PKR yang bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Feb 2020 menambah, pihak terbabit perlu berhenti melakukan adu domba berkenaan.

"Mustahil propaganda murahan tersebar beberapa hari yang lalu, kononnya saya dan Azmin telah meninggalkan BERSATU.

"Berhentilah mengadu domba dengan propaganda murahan untuk melemahkan Bersatu," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut ahli parlimen Segamat itu lagi, beberapa jam sebelum tersebar berita palsu tersebut dia hadir bersama dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin di Johor.

"Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih atas respon dan keyakinan Presiden (Bersatu) berkaitan isu ini," katanya.

Cakap-cakap mengenai adanya beberapa bekas pemimpin PKR yang menyertai Bersatu akan memilih parti baru mula kedengaran selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin mengumumkan keputusannya meninggalkan parti berkenaan pada 26 Mei lalu.

Zuraida merupakan bekas ketua Wanita PKR dan naib presiden parti itu ketika berpaling tadah menyertai Bersatu.

Azmin pula merupakan bekas timbalan presiden PKR yang kini menjadi salah seorang menteri kanan dalam kabinet Ismail Sabri Yaakob.

Pada 17 Jun lalu Malaysiakini pula melaporkan Azmin mengadakan pertemuan selama sejam dengan dua wakil PKR di Hotel Sheraton Petaling Jaya.

Sumber-sumber memberitahu pertemuan tersebut berlangsung pada Rabu 15 Jun.

Kata mereka pertemuan berkenaan ada kaitan dengan kesetiaan kumpulan anggota parlimen yang menyokong Azmin serta isu kelangsungan langkah politiknya.

Mohd Rashid berkata tindakan pihak terbabit menyebarkan khabar angin tersebut menunjukkan mereka ketandusan isu untuk memberikan tekanan kepada Bersatu.

“Sejak hari pertama bersama Bersatu saya cukup yakin dengan masa depan parti.

"Saya akan terus bersama dengan saf kepimpinan Bersatu dalam menyatupadukan rakyat dan membina kekuatan bagi merealisasikan matlamat menjadikan negara ini sebuah negara yang bersih, telus, berintegriti, mempunyai tadbir urus yang baik, memperjuangkan keadilan sosial dan sentiasa prihatin kepada kemaslahatan rakyat untuk mendapat mardhatillah, insya-Allah," katanya.