Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Gerakan tukar PAS Kelantan: Nak bagi siapa perintah, tanya TMB

PAS berpandangan parti itu tidak ada masalah besar dengan hasrat parti lawan yang dilihat gigih berkempen mahukan rakyat Kelantan menukar kerajaan PAS di negeri terbabit.

Bagaimanapun Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah melontarkan soalan buat para pengundi yang akan membuat pilihan nanti: Apakah pilihan yang lebih baik daripada parti itu jika yang ada yang mahu mengubah angin?

"Sebab sekarang asyik bercakap nak tukar kerajaan... tukar nak bagi siapa (perintah), cuba bagitahu? Nak tukar boleh, itu hak rakyat.

"Orang mengundi (apabila) sampai masa (nanti) hak dia kita tak boleh sekat. Tapi ambo (saya) nak tanya, tukar nak bagi pada siapa? Jawablah," katanya.

Jika mereka mahu menyerahkan mandat kepada BN, Mohd Amar berkata, adakah negeri yang diperintah gabungan ditunjangi Umno itu tidak mengalami masalah air.

"Air di Kelantan keruh macam teh. Di Pahang yang BN perintah jernih setara mana?

"(Kalau) kata nak buat Islam lagi baik kalau jadi kerajaan, negeri yang diperintah BN buat Islam setara mana Islamnya?" tanyanya lagi.

Biar rakyat nilai

Menurut timbalan menteri besar Kelantan itu lagi disebabkan parti lawan - termasuk Umno - beria-ia mahu memainkan sentimen itu, PAS juga terpaksa menggunakan kaedah sama.

"Dah nampak nak 'main' sangat, kita mainlah. Asyik bercakap 'kita tukar, kita tukar' saja," katanya ketika berceramah sempenan kuliah mingguan di Medan Ilmu, Kota Bharu, Jumaat lalu.

Mohd Amar berkata demikian ketika mengulas cita-cita pihak parti lain di negeri itu yang mengajak rakyat agar tidak lagi menyokong PAS menjadi mentadbir negeri.

Selain pembangkang gerakan itu turut digerakkan Umno yang pernah memeterai persefahaman dengan PAS melalui Muafakat Nasional ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

Bagaimanapun hubungan Umno-PAS dalam persefahaman itu kini diibaratkan retak menanti belah.

Pengerusi Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub sebelum ini menegaskan jika mereka diberi mandat, BN berjanji akan menjadikan Kelantan lebih Islamik berbanding apa yang dilakukan PAS.

Sementara itu Mohd Amar turut mengakui kekangan kewangan dihadapi PAS sepanjang lebih 30 tahun memerintah Kelantan, namun tegasnya dalam keadaan begitu mereka tidak mengkhianati rakyat.

"Lebih 30 tahun tak ada pembangunan, peluang kerja tak ada, air tak selesai, betullah - kita akui.

"Tapi kita makan duit ke? Kita khianat ke? Kita rasuah ke? Cuba jawab.

"Miskin memang kita mengaku miskin, tetapi nak orang miskin baik atau orang kaya yang jahat?" soalnya.

Dia yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Kelantan turut mencabar parti-parti lain di Kelantan supaya mengemukakan calon menteri besar masing-masing untuk membolehkan rakyat membuat penilaian.

"Hak demo (kamu) mengundi nak tukar (kerajaan), ambo tak mahu sekat. Itu hak demokrasi, kita tak paksa. Demo pun tak boleh paksa pendirian kita.

"Tapi ambo nak tanya: nak bagi pada siapa? Umno misalnya, siapa nak jadi menteri besar, royaklah (beritahulah).

"Umno ceramah lepas ini kena bagitahu siapa nak jadi menteri besar? Biar rakyat nilai.

"PH begitu juga, siapa nak jadi menteri kalau mereka menang? Kena bagitahu. Sebelum kahwin kena kenal dulu anak teruna," ujarnya berkias.