Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Isu pembalakan: Kerajaan Pahang saman aktivis alam sekitar

Kerajaan Pahang memfailkan saman terhadap Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka) Shariffa Sabrina Syed Akil.

Saman itu berkaitan tiga kenyataan Sabrina berkaitan kegiatan pembalakan di Pahang.

Kerajaan negeri sebelum ini mengeluarkan notis tuntutan permohonan maaf dan ganti rugi fitnah berjumlah RM1 juta berhubung komennya yang disiarkan di laman Facebook miliknya serta wawancara dengan media tempatan.

Menurut undang-undang, tindakan sivil boleh dijalankan jika penerima notis itu tidak akur terhadap tuntutannya.

Menurut pernyataan tuntutan yang dilihat Malaysiakini, saman sivil itu difailkan di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 7 April lalu.

Kerajaan Pahang mendakwa Sabrina mengeluarkan kenyataan fitnah di Facebook pada 29 dan 30 Disember tahun lalu, serta dalam wawancara dengan Sinar Harian pada 12 Januari lalu.

Plaintif mendakwa kenyataan defendan membayangkan pihaknya kurang telus dalam membenarkan kegiatan pembalakan di Pahang.

Plaitif juga mendakwa kenyataannya membayangkan banjir yang melanda Pahang tahun lalu berpuca daripada pembalakan tidak terkawal.

"Plaintif seterusnya memplidkan bahawa kata-kata fitnah penerbitan pertama, kata-kata fitnah penerbitan kedua dan kata-kata fitnah penerbitan ketiga tersebut masing-masing, serta keseluruhan kata-kata yang terkandung di dalamnya adalah dakwaan palsu dan tidak berasas, dan merupakan fitnah yang amat serius kepada reputasi dan nama baik plaintif sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab dan berwibawa dalam membangunkan Pahang serta memacu ekonomi negeri, selain menjaga kesejahteraan, keselamatan dan ketenteraman rakyat Pahang secara khususnya," kata kerajaan Pahang.

Menurut kerajaan negeri lagi, sekurang-kurangnya setakat ini, pihaknya telah mengambil langkah wajar bagi pemulihan semula kawasan yang terjejas dengan banjir, selain mewujudkan 51 pusat perlindungan dan membina penempatan baru kepada mangsa di kawasan terjejas.

Kerajaan negeri juga mendakwa Sabrina gagal mematuhi notis tuntutan yang dikeluarkannya sebelum ini.

Melalui saman ini, kerajaan Pahang menuntut RM1 juta dalam bentuk ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan juga teladan, serta faedah lima peratus setahun daripada tarikh writ dan pernyataan tuntutan sehingga penyelesaian penuh dibuat.

'Terima kritikan'

Sementara itu, dalam pernyataan pembelaan bertarikh 23 Mei, Sabrina berkata kerajaan negeri tidak boleh difitnah dan tindakannya sepatutnya boleh dikritik orang ramai.

Dia berkata kenyataan yang dibuat adalah berpatutan dan tidak berniat jahat, serta boleh dibuat secara jujur dan munasabah oleh mana-mana pihak yang berfikiran adil, berdasarkan fakta yang benar, selaras dengan hak kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan.

Katanya lagi, dia menggunakan laman Facebooknya untuk menyebarkan fakta dan meningkatkan kesedaran terhadap isu alam sekitar serta kepentingan menjaganya.

"Memandangkan impak sebarang isu alam sekitar terhadap semua rakyat, maka penerbitan-penerbitan defendan adalah wajar dan munasabah," katanya lagi.