ULASAN | PBAKL 2022: Cerita bangsa kecil yang bercita-cita besar
Bilakah Bahasa Melayu bermula?
Kita tidak ada data yang jelas dalam hal ini. Tetapi pastinya bahasa sesebuah bangsa itu berkait erat dengan bangsa itu sendiri. Jadi bila kita bertanya bilakah Bahasa Melayu bermula, pastinya berkait dengan persoalan, bilakah bangsa Melayu mula wujud?
Pastinya bangsa ini telah wujud lama seperti yang dicatatkan oleh sejarawan dan ahli arkeologi. Ada yang mengemukakan pelbagai teori. Antaranya seperti out of Taiwan yang dipelopori ahli arkeologi Australia, Peter Bellwood yang mengatakan bahawa nenek moyang orang Melayu berasal dari Taiwan, sekitar 10,000 ke 6,000 sebelum masihi.
Sementara Hendrik Kern (berbangsa Belanda) berspekulasi bahawa nenek moyang orang Melayu adalah bangsa penghijrah dari Tonkin, tempat antara utara Vietnam dan selatan China.
Seorang lagi pengkaji Robert Heine van Geldern mengatakan nenek moyang masyarakat pribumi di seluruh Asia Tenggara, Oceania dan Pasifik berasal dari Yunan, selatan Tanah Besar China.
Ini disebutnya sebagai Melayu-Proto, atau nenek moyang Orang Asli, yang disebutnya juga sebagai kaum penghijrah pertama, yang menurutnya berlaku kira-kira 2,500 tahun lalu.Menurut Van Geldern, kaum penghijrah kedua barulah nenek moyang orang Melayu.
Dikatakan nenek moyang orang Melayu berhijrah dari sebuah tempat bernama Dongsong, dalam wilayah Yunan di selatan China, kira-kira 1500 tahun lalu.
Mohamed Anwar Omar Din, dalam Jurnal Melayu (7) 2011: 1-82 bertajuk Orang Melayu: Menulis Semula Sejarahnya telah membahas panjang persoalan ini dan menyanggah dakwaan ini.
Jika benar sekalipun dakwaan pengkaji asing tersebut, bagaimana hari ini Bangsa Melayu menjadi begitu berbeza dengan mereka yang berada di Taiwan dan Tonkin dan di Dongsong?
Pastilah suatu evolusi yang kreatif sedang berlangsung, sehingga menyebabkan bangsa ini memunculkan suatu kebudayaan baru, dari sudut sikap, bahasa, keterampilan, pemikiran, yang sama sekali berbeza dengan bentuk asal yang didakwa dari situ mereka berasal. Jika benarlah dakwaan tersebut.
Tetapi pasti juga ketika itu, Bahasa Melayu belum begitu tersusun seperti yang kita gunakan seperti hari ini. Sememangnya kerajaan-kerajaan Melayu telah wujud begitu lama. Tetapi pastilah juga bahasa Melayu dan keilmuan dalam bahasa Melayu hanyalah milik golongan tertentu semata, atau lebih khusus, golongan elit yang tinggal istana.
Bahasa Melayu persuratan itu tidak menurun ke bawah. Buktinya, cerita-cerita dan hikayat semuanya tentang mereka yang berlegar-legar sekitar istana. Hierarki di bawahnya, hanya kekal dalam kelas bawahan.
Ilmu dalam Bahasa Melayu ketika itu, tidak merata. Kelas pedagang dalam dunia Melayu juga sangat terhad dan kecil. Kerana harta mereka akan dirampas oleh elit atasan, kerana itu juga dorongan berniaga hampir pupus di kalangan rakyat bawahan, kerana bimbang kekayaan mereka akan dirampas golongan atasan, yang dikenali dengan nama para pembesar.
Semesta Melayu
Ini seperti yang pernah disebutkan Munsyi Abdullah dalam memerihalkan kenapa orang Melayu kurang berminat untuk berniaga. Bukan malas, tetapi kerana tidak mahu harta kekayaan mereka dirampas.
Jadi ilmu ketika itu masih tidak merata. Semesta Melayu ketika itu, walaupun dikatakan dipancari cahaya Islam yang baru datang pada tahun 1136, sebenarnya masih dalam zulmat jahiliah, kerana bukan semua orang Melayu ketika itu celik huruf. Ilmu masih milik golongan tertentu, meskipun sedikit lebih cerah berbanding zaman Hindu-Buddha.
‘Hanyasanya’ ketika penjajahan itu datang, membawa bersama mereka teknologi percetakan, barulah surat khabar dan buku mulai diedar, disebar, dan dibaca di merata-rata. Semua orang boleh membaca suratk habar dan buku. Dan ini berlaku masih sangat baru. Kira-kira hampir seratus tahun lalu.
Mereka yang memonopoli ilmu pengetahuan selama ini tidak dapat lagi mengepung ilmu pengetahuan dan maklumat dari merembes keluar dan menghancurkan kejahilan masyarakat. Ini seperti yang juga berlaku di Eropah bila mana Gutenberg menghasilkan mesin percetakan, maka Bible bukan lagi milik mutlak para agamawan Kristian!
Sekolah-sekolah di Malaya kemudian mulai didirikan, Harun Aminurrashid seorang pendidik di SITC (nama sebelum UPSI) melanggan banyak surat khabar dan buku dari Indonesia untuk diletakkan sebagai bahan bacaan di tempat mengajarnya itu.
Anak-anak murid Harun Aminurrashid bertebaran luas menjadi guru di merata ceruk Alam Melayu. Jasa Harun Aminurrashid dalam perkembangan dan pendidikan anak bangsa sangat besar, meskipun ramai sahaja generasi Tiktok kini tidak mengenal sosok mulia itu.
Kadar celik huruf negeri yang di-kolonial masih sedikit. Tiada walau sekutil pun pesta buku yang wujud pada ketika itu. Bahasa Melayu masih belum disistematikkan. Ejaan belum diseragamkan. Malaysia belum wujud. Malaysia hari ini, ketika itu masih bernama Malaya.
Sebuah wilayah yang telah dijajah ratusan tahun lamanya. Yang telah dipunggah hasil mahsulnya sejak sekian lama. Sebuah wilayah yang anak bangsanya telah lama selesa dijajah, hingga bila ada yang mahu merdeka, ditanyakan oleh anak bangsanya juga yang meragui, “Adakah kamu mampu membuat pensil?”
Selepas merdeka dari kolonial, dan ketika zaman Tun Razak, bangsa ini mulai diperkuatkan. Sasterawan-sasterawan terkenal diambil berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Usman Awang, Keris Mas antaranya. Kedua mereka terkenal dengan gerakan rakyat. Termasuk juga A Samad Ismail dan Pak Sako.
Bangsa yang baru merdeka ini, mulai diperkukuhkan jati diri. Bahasa Melayu mulai disistematikkan. Ada jua yang terpaksa dikorbankan dari bahasa, demi keharmonian dan perpaduan kaum. Tulisan Jawi terpaksa ditinggalkan. Bangsa Melayu mulai diromankan tulisannya, menggantikan Jawi. Meskipun Jawi itu bukanlah tulisan asal Melayu, tetapi ia telah hidup lama dalam masyarakat Melayu. Akan tetapi demi keharmonian dan perpaduan kaum seluruhnya yang tidak mengenal huruf-huruf Arab, maka ianya dikorbankan.
Pesta Buku Antarabangsa baru sahaja dimulakan 30 tahun lalu. Meski ada cacat di sana sini, huru-hara itu dan ini, ia masihlah kisah anak bangsa yang kecil yang bercita-cita besar. Tidak mungkin untuk dibandingkan dengan pesta buku orang kulit putih yang telah menjadi kuasa kolonial semenjak sekian lama. Ia suatu perbandingan yang tidak relevan. Bukankah ia jadi unik dan menarik, bila ada satu pesta buku di dunia ini, yang tidak menggunakan bahasa Inggeris, sebaliknya menggunakan bahasanya sendiri?
Bukankah ia satu projek ketamadunan yang penting? Bahawa rakaman sejarah dunia menyaksikan, bahasa ini belum pupus lagi, sebaliknya masih hidup dengan menganjurkan pesta buku dalam bahasa dan tulisannya yang tersendiri, yang tidak menggunakan bahasa dari Dongsong, Taiwan, Tonkin, mahupun Inggeris, tetapi bahasanya sendiri.
Tetapi cukuplah jika kita menambah lebih banyak segmen buku, bukan sahaja buku agama (yang berlambak-lambak) tetapi juga buku-buku falsafah, terjemahan, sains sosial, ideologi, ekonomi, sains, matematik, geografi, sosiologi, alam sekitar, kesihatan dan yang penting semua buku itu di dalam Bahasa Melayu. Ini juga yang dilakukan oleh Al-Ma’mun, putera Harun Aminurrashid suatu masa dahulu, yang akhirnya membuat satu lompatan besar bangsa Arab, sehingga dikenali era itu sebagai golden age of Islam.
Adalah suatu yang mengecilkan hati para pejuang dahulu kala (yang kebanyakan mereka dikucilkan dari sejarah), yang bercita-cita besar, sekiranya pada hari ini, pesta buku di tanah airnya sendiri, yang dianjurkan oleh anak bangsanya sendiri adalah sebuah pesta buku yang berisi buku-buku berbahasa Inggeris.
Buku-buku bahasa lain, Jerman, Perancis, Belanda, Itali, Jepun, Korea, boleh sahaja ada (walaupun belum tentu di pesta buku negara-negara itu, adanya semua buku bahasa asing), dan terus ada, tetapi pastilah buku-buku dalam Bahasa Melayu, untuk segala aspek keilmuan haruslah ada, dan mestilah lebih banyak dari buku-buku bahasa lain.
Atau hapuskan sahaja terma ‘antarabangsa’ itu jika perlu. Banyak hal lain lagi yang perlu diutamakan berbanding terma ‘antarabangsa’. Hal-hal seperti buku yang dilelong murah seperti ikan basah dan pesta buku yang tidak mesra OKU, terlalu Islamik, terlalu kurangnya pempamer dan pengunjung India dan Cina, orang asal, antara yang lebih penting untuk diberikan penekanan.
BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan, penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai