Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dr M: Tarikh sesuai buat PRU15 adalah bila penggal tamat

Bagi Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad, tarikh paling sesuai untuk PRU15 dilaksanakan adalah selepas tempoh penggal pentadbiran ini berakhir.

Mahathir juga membangkitkan bahawa ada pihak dalam kerajaan yang cuba mengambil peluang di saat parti pembangkang yang dilihat tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada masa ini.

"Tarikh sesuai ialah kalau kita ikut jadual pilihan raya. Itu tarikh yang sesuai.

"Tapi, saya medapati kerajaan nak ambil peluang parti-parti lawan tak sedia supaya adakan PRU lebih awal supaya mereka dapat kemenangan," katanya kepada pemberita di majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pejuang Muda dengan Silver Gold Collector Group di Putrajaya hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas tarikh sesuai untuk mengadakan PRU15, di saat Umno menggesa agar ia disegerakan.

Antaranya presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden Najib Razak yang berpendapat bahawa pilihan raya umum tidak boleh ditangguhkan lagi.

Namun, pembangkang dan beberapa pemimpin Umno sendiri berpendapat bahawa PRU awal akan menjejaskan usaha kerajaan pemulihan negara daripada wabak Covid-19.

Ismail Sabri Yaakob mempunyai tempoh sehingga Julai tahun depan sebelum mengadakan PRU15.

Sementara itu, Mahathir berkata partinya masih tidak memilih calon perdana menteri bagi pihak pembangkang.

"Kami akan lihat calon itu yang mampu memberi kemenangan kepada pembangkang.

"Mereka bukan semestinya datang daripada Pejuang sahaja, tetapi banyak organisasi lain akan bersama Pejuang untuk bertanding menentang gabungan BN," katanya.