Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

OPR dijangka naik sekurang-kurangnya 25 mata asas menjelang akhir 2022

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sekurang-kurangnya 25 mata asas (bps) menjelang akhir tahun, berikutan kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Pada Rabu, Fed AS menaikkan kadar dasar utamanya sebanyak 75 mata asas kepada 1.50 peratus -1.75 peratus (sebelum ini 0.75 peratus-1.00 peratus), iaitu kenaikan terbesar sejak 1994 dalam usaha membendung inflasi tinggi yang menyaksikan indeks harga pengguna bulan Mei negara itu melonjak 8.6 peratus tahun ke tahun.

Dalam laporan ekonominya hari ini, Kenanga berkata reaksi pasaran kewangan global terhadap kenaikan kadar dan kesan akhirnya ke atas ekonomi akan memberikan dorongan yang lebih kuat bagi kebanyakan bank pusat untuk menyusuli langkah berkenaan.

“Bagaimanapun, ini tidak menandakan bahawa BNM akan mengikut keputusan monetari Fed itu," tambahnya.


Baca: Bagaimana kenaikan OPR beri kesan pada kita


Bank pelaburan itu seterusnya menambah pendirian dasar BNM secara beransur-ansur menjurus ke arah mengetatkan memandangkan permintaan domestik yang bertambah baik berikutan pembukaan semula sempadan antarabangsa dan kelonggaran sekatan COVID-19, yang membawa kepada pembentukan trend inflasi yang didorong oleh permintaan.

“Oleh itu, kami percaya ini akan meningkatkan kebarangkalian BNM untuk menaikkan OPR sekurang-kurangnya 25 mata asas pada baki tiga lagi Mesyuarat Dasar Monetarinya untuk tahun ini,” katanya.

- Bernama