Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hakim tarik diri dari permohonan Najib lantik peguam diraja UK

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ahmad Farid Wan Salleh hari ini memaklumkan anggota keluarganya ada dalam parti yang sama dengan bekas perdana menteri Najib Razak.

Justeru, Ahmad Farid menarik diri daripada mendengar permohonan untuk membenarkan peguam diraja United Kingdom (Queen's Counsel) untuk mewakili Najib dalam rayuan kes rasuah International berjumlah RM42 juta.

Dia memaklumkan perkara ini kepada peguam Najib, Majlis Peguam, Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan ketika pengurusan kes hari ini.

"Saya ingin nyatakan bahawa seorang ahli keluarga terdekat saya adalah ahli politik yang aktif serta ketua bahagian parti politik yang sama dengan perayu (Najib)," katanya.

"Pendekatan saya dalam menentukan isu yang ditanggapi sentiasa semata-mata berdasarkan ruang lingkup undang-undang dan stare decisis (mematuhi duluan dalam membuat keputusan)...

"Namun, menimbangkan perkara yang saya nyatakan sebelum ini, pendengaran saya untuk notis pemula ini dan keputusannya, dari mana-mana segi, tidak akan dilihat sebagai hanya berdasarkan perspektif undang-undang tanpa kecenderungan luar," katanya lagi.

Ahmad Farid berkata ia akan mengundang kritikan yang tidak diperlukan yang akan menjejaskan integriti kehakiman.

"Persepsi awam terhadap kebebasan kehakiman tidak boleh dibiar diragukan...Kebebasan kehakiman adalah perkara berharga kepada masyarakat. Jika ia hilang, anark akan menguasai. Maka kebebasan kehakiman perlu dipertahankan dengan apa jua.

"Atas sebab ini, walaupun tiada permintaan dibuat oleh mana-mana pihak terlibat, saya menarik diri daripada mendengar notis pemula ini," katanya lagi.

Sebelum ini, Ahmad Farid pernah menjadi senator dan timbalan menteri dalam negeri.

Namun, ia bukan sebabnya menarik diri dalam kes ini memandangkan dia telah meninggalkan Umno serta kedudukan lain yang boleh mengundang risiko konflik kepentingan sebelum menyertai badan kehakiman.

Ahmad Kamal Md Shahid merupakan hakim baru dalam kes ini.

[Baca berita asal]