Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Daya saing: Kerajaan harus segera bangun dari tidur, kata Lim

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata penurunan mendadak Malaysia dalam senarai Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) merupakan amaran jelas tentang kegagalan tadbir urus yang baik oleh kerajaan Ismail Sabri Yaakob.

Katanya ia memperkukuh keperluan untuk kerajaan mengambil perhatian terhadap kekurangan kecekapan, kepastian, konsistensi dan kejelasan tadbir urus semasa bagi untuk menggantikan kelemahan, kekeliruan dan dasar flip-flop (berbolak-balik) yang ketara.

"Kerajaan harus bangun daripada tidur dengan mewujudkan Dana Penstabilan Harga dan Stok Penampan bagi komoditi penting untuk mengurangkan kadar kenaikan dan pergerakan harga.

"Pada masa yang sama, pemansuhan permit import (AP) makanan tidak seharusnya diikuti dengan peningkatan birokrasi yang memperlahankan masa pemprosesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata demikian sebagai mengulas kedudukan terkini negara dalam WCR yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD).

Berdasarkan senarai itu Malaysia berada di kedudukan ke-32 pada tahun ini berbanding tempat ke-25 pada tahun lalu.

WRC merupakan laporan tahunan komprehensif dan titik rujukan seluruh dunia mengenai daya saing sesebuah negara.

Menurut Lim prestasi yang ditunjukkan Malaysia pada tahun ini tidak memberi petanda baik kepada ekonomi negara.

Hal itu kerana, katanya, Malaysia sudah menghadapi pelbagai masalah lain seperti harga barangan keperluan yang melambung tinggi, peningkatan kos sara hidup, rasuah, kekurangan tenaga buruh dan kelemahan mata wang.

Bekas menteri kewangan itu juga menegaskan ringgit telah merosot ke paras terendah berbanding dolar AS dan Singapura.

Justeru keadaan itu berlaku walaupun harga minyak dan komoditi melambung tinggi.

"Subsidi harus segera diagihkan dan tidak ditangguhkan, seperti subsidi penternak ayam," katanya.

Menurut Lim daripada RM730 juta subsidi yang diluluskan oleh Kementerian Pertanian Malaysia dan Industri Makanan, hanya RM50 juta sudah dibayar pada Mei lalu.

Tambah ahli parlimen Bagan itu kerajaan sepatutnya berhenti daripada sindrom penafian dengan mendakwa keadaan inflasi negara terkawal pada kadar 2.3 peratus.

"Refleksi yang lebih tepat ialah dengan melihat Indeks Harga Pengeluar yang berada pada 11 peratus pada April.

"Perdana menteri harus mengarahkan menteri-menterinya turun padang bagi mendapatkan penilaian yang realistik dengan melawat ke pasar dan bukannya pergi ke luar negara," tambahnya.