Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Keluarga Adib tarik balik rayuan ke atas Thomas

Keluarga anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim menganggap tindakan mahkamah yang difailkan mereka untuk memulakan prosiding komital terhadap bekas peguam negara Tommy Thomas telah selesai.

Perkara itu dimaklumkan peguam keluarga dalam kenyataan hari ini.

Firma guaman Mohd Zubir Embong and Associates berkata ia setelah pihak keluarga dan Pejabat Peguam Negara (AGC) menarik balik rayuan mereka di mahkamah.

Sebelum ini, AGC memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 Februari lalu, bahawa Mahkamah Koroner Shah Alam ada kuasa untuk memberi kebenaran bagi memulakan prosiding menghina terhadap Thomas.

Pada masa sama, keluarga Adib juga membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memutuskan Thomas ada hak untuk membuat rayuan dan mengetepikan kebenaran Mahkamah Koroner untuk memulakan prosiding komital terhadapnya.

"Susulan daripada arahan keluarga arwah Adib agar rayuan bapa arwah Adib ditarik balik, pihak peguam melalui Tetuan Mohd Zubir Embong telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei. Ini diikuti dengan pengesahan oleh AGC bahawa AGC turut menarik balik permohonan kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

"Maka dengan itu, pihak keluarga arwah Adib menganggap proses dan prosiding penghinaan Mahkamah terhadap Tommy Thomas/AGC selesai dan tamat di sini, serta berharap masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baru, kata firma guaman itu.

Tommy Thomas

Mereka turut mengesahkan keluarga Adib telah menerima pampasan RM1.5 juta daripada kerajaan pada 29 November 2021.

Pada masa sama, kenyataan itu menegaskan penyelesaian yang dicapai tidak memberi kesan terhadap dapatan Mahkamah Koroner pada 27 September 2019 yang mengesahkan Adib meninggal dunia akibat diserang.

"... Ini juga tidak bererti usaha mencari pembunuh arwah Adib tidak boleh diteruskan oleh PDRM, kerana siasatan jenayah tiada had masa di sisi undang-undang," kata mereka.