Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mara Corp: SPRM dah cadangkan dakwa 'beberapa pihak'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berpendapat, ada pertuduhan boleh dibuat ke atas pegawai Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) berdasarkan siasatan yang dijalankan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu selepas menyelesaikan siasatan, dokumen berkaitan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama saranan tersebut.

"Pihak kami sebagai pihak penyiasat, kami dlah menghantar fail kami kepada AGC untuk dikaji.

"Seperti mana yang lepas, kami mencadangkan untuk dituduh beberapa pihak dalam kes ini," katanya kepada media di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Azam ditanya mengenai laporan berita yang mendakwa AGC dijangka tidak akan mendakwa pegawai Mara Corp yang disiasat SPRM kerana bukti yang diperlukan untuk langkah tersebut tidak mencukupi.

Pada Feb lalu SPRM menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa yang melibatkan elaun beberapa eksekutif di syarikat cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkenaan.

Antaranya ialah eksekutif menaikkan elaun tanpa kelulusan, membuat tuntutan berganda, dan menyalahgunakan harta syarikat seperti kereta.

Kata Azam setakat ini SPRM tidak dimaklumkan sebarang perkembangan daripada AGC sama ada kes tersebut akan dibawa ke mahkamah atau sebaliknya.

"Setakat ini tidak ada komen nak kata kes ini tidak dituduh, namun seperti saya beritahu tadi, kami menyiasat dan pada pandangan kami ada keterangan yg memadai, mencukupi untuk mencadangkan pertuduhan terhadap beberapa pihak," katanya.