Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP soal mana menteri setelah undangan tinjau lokasi banjir tinggal janji

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menyelar Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim yang “membisu” selepas pemimpin DAP itu menyahut undangannya untuk melihat beg pasir yang ditempatkan di lokasi tertentu di ibu negara sebagai langkah jangka masa pendek bagi menangani isu banjir.

Menurut Lim, dia menerima undangan yang dibuat pada 5 Jun lalu tetapi sehingga hari ini belum pernah mendengar khabar daripada menteri itu.

"Mengapa lambat mahu jumpa wakil rakyat Kuala Lumpur? Kamu tidak serius mahu menyelesaikan isu ini?" soalnya pada sidang media secara langsung di Jalan Kepong Baru hari ini.

"Dia beritahu saya dia akan anjurkan satu mesyuarat dengan semua ahli parlimen sama ada pada Khamis atau Jumaat untuk membincangkan isu praktikal," kata Lim.

Walaupun begitu, Lim mendakwa dia telah membuat lawatan tanpa diundang ke salah satu daripada 23 tapak yang berisiko tinggi dilanda banjir kilat - yang dikendalikan oleh 10 kakitangan DBKL.

Menurut Lim, inisiatif itu bermula Isnin lalu dan akan berlangsung sehingga Ogos.

"Apabila saya pergi ke sana, saya tidak tahu nak cakap apa," katanya sebelum merujuk inisiatif belon amaran banjir 2014 yang kini telah dihentikan.

Lim mempersoalkan usaha kerajaan untuk menyelesaikan isu itu sebelum ini.

“Pada 2014, lapan tahun lalu, DBKL menghasilkan belon pertama mereka di Kampung Kasipillay di kawasan (kerusi) lama saya di Jalan Ipoh.

“Mereka buat belon. Jika ini berjaya, mereka akan buat lebih banyak lagi. Malangnya, ini gagal dan menyebabkan pembayar cukai terpaksa bayar RM120,000 bagi setiap belon,” katanya.

Dia menambah bahawa rancangan kerajaan untuk membina terowong bawah tanah baharu hanya membuktikan kegagalan Terowong Smart daripada mencapai hasil yang dijangkakan.

“Jika mereka mahu bina terowong pengurusan banjir baharu, apa jadi dengan Terowong Smart yang dijanjikan mampumenyelesaikan masalah banjir Kuala Lumpur 15 tahun lalu?” soal Lim.

[Baca berita penuh]