Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Nilai Bitcoin jatuh mendadak, menjunam 14 peratus

Bitcoin jatuh setinggi 14 peratus pada hari Isnin selepas syarikat pinjaman mata wang kripto utama Amerika Syarikat, Celsius Network membekukan pengeluaran dan pemindahan atas alasan keadaan pasaran yang "melampau" yang memberikan isyarat bahawa bakal berlaku kemelesetan pasaran kewangan.

Tindakan Celsius itu mencetuskan kejatuhan merentasi mata wang kripto, dengan nilainya merosot di bawah $1 trilion pada hari Isnin untuk kali pertama sejak Januari 2021. Ini mencetuskan kebimbangan bahawa kerugian itu mungkin menjejaskan aset lain atau merebak ke syarikat lain.

"Hampir segala-galanya boleh menjadi sistemik dalam kripto ... kerana seluruh ruangnya berdepan risiko berlebihan," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Swan Bitcoin, Cory Klippsten. Swan Bitcoin adalah platform simpanan bitcoin.

Ketua Pegawai Eksekutif Celsius Alex Mashinsky dan Celsius tidak menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasannya.

Celsius yang berpangkalan di New Jersey, mempunyai kira-kira $11.8 bilion dalam aset, menawarkan produk menanggung faedah kepada pelanggan yang mendepositkan mata wang kripto ke dalam platformnya. Ia kemudian meminjamkan mata wang kripto untuk memperoleh pulangan.

Susulan pengumuman Celcius, bitcoin mencecah paras terendah 18 bulan pada AS$22,725, sebelum meningkat sedikit ke sekitar AS$23,265. Token kedua terbesar, ether, jatuh setinggi 18 peratus kepada AS$1,176, paras terendahnya sejak Januari 2021.

Syarikat yang terdedah kepada mata kripto sebelum ini memberikan amaran bahawa penurunan harga token boleh memberikan kesan buruk, termasuk mencetuskan panggilan margin.

"Ia masih lagi masa yang tidak selesa dan terdapat risiko penularan yang membelenggu pasaran kripto secara meluas," kata ketua strategi kewangan di firma pengurusan dana Solrise Finance, Joseph Edwards.

Pasaran kripto telah menjunam sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila kadar faedah meningkat manakala inflasi pula terus memuncak sehingga mendorong pelabur untuk melepaskan pegangan mereka ke atas aset berisiko merentas pasaran kewangan.

Pasaran terus menjunam pada hari Isnin selepas data inflasi Amerika Syarikat pada hari Jumaat, yang menunjukkan kenaikan harga terbesar sejak 1981. Ini mendorong pelabur menaikkan pertaruhan mereka pada kenaikan kadar Rizab Persekutuan.

- Reuters