Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bapa didakwa rogol anak kandung berusia 14 tahun

Seorang bapa didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini atas pertuduhan merogol anak kandungnya, dalam satu kejadian pada bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Rozaidi Yaakob.

Mengikut pertuduhan, buruh berusia 39 tahun itu didakwa merogol seorang remaja yang berusia 14 tahun tanpa kerelaannya.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Tanah Merah jam 12 tengah malam pada 31 Mei lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah Seksyen 376 (2) kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara minimum 10 tahun sehingga 30 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Syafiq Aizat Nazri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 15 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes di hadapan hakim Mahkamah Sesyen.