Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kerajaan akan tambah baik GST jika diperkenalkan semula

Kerajaan akan menambah baik dari aspek kecekapan proses bayaran balik jika Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan semula, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dia berkata langkah itu bagi mengelakkan kekeliruan dalam pengelasan barang yang bercukai dengan tidak bercukai, meningkatan tahap kemahiran pegawai kerajaan, tahap pematuhan peniaga dan tadbir urus keseluruhan GST.

“Sebarang sistem percukaian baru juga perlu diluluskan di parlimen dan jika diambil kira keperluan libat urus bersama rakyat serta untuk menambah baik sistem sedia ada, tidak mungkin GST akan dilaksanakan pada tahun ini,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-98 yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan perlu meneliti usaha untuk meluaskan asas hasil supaya ia dapat diagihkan dengan lebih bermakna melalui program pembangunan yang bermanfaat untuk seluruh Keluarga Malaysia.

Katanya, jumlah kutipan hasil negara mencatatkan 15.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 dan agak rendah berbanding kutipan hasil negara lain.

Sementara itu, kata Tengku Zafrul, hasil cukai negara mencatatkan 11.2 peratus daripada KDNK.

“Walaupun buat masa ini Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan harga komoditi global, hasil berkaitan komoditi tidak mampan kerana bergantung kepada pergerakan harga pasaran global,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, ia tidak mampu menampung sepenuhnya peningkatan perbelanjaan yang diperlukan untuk kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, kerajaan perlu meneroka sumber hasil yang stabil dan lebih meluas seperti cukai kepenggunaan.

“Namun begitu, sebelum kerajaan memperkenalkan apa-apa cukai baharu, kita perlu memastikan pemulihan ekonomi pascakrisis Covid-19 sudah mencapai landasan yang stabil dan kukuh,” katanya.

Mengulas mengenai Bajet 2023, Tengku Zafrul berkata tumpuan khas akan diberikan kepada memudah cara segmen pekerjaan atau pekerjaan semula terutamanya siswazah menganggur, wanita yang meninggalkan pasaran kerja, orang kurang upaya dan penganggur jangka masa panjang.

Selain itu, katanya tumpuan juga akan diberikan kepada program peningkatan kemahiran dan pemahiran semula, meningkatkan produktiviti menerusi digitalisasi aktiviti ekonomi dan memastikan gaji yang wajar dalam kalangan rakyat termasuk menerusi semakan gaji minimum.

“Tidak dilupakan intervensi-intervensi yang diperlukan bagi memastikan jaminan makanan asas untuk mengurangkan kenaikan ketara harga barang keperluan dan memastikan sumber kerajaan dibelanjakan kepada mereka yang memerlukan menerusi subsidi bersasar.

“Bajet 2023 akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan memberi tumpuan kepada pelaksanaan pembaharuan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, pendapatan dan perlindungan sosial serta menambah baik daya saing perniagaan dan rantaian nilai di samping memperkukuh kedudukan fiskal kerajaan dan daya tahan negara dalam mendepani kejutan pada masa hadapan,” tambahnya.

- Bernama