Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Mansuh hukum mati mandatori langkah ke depan yang progresif'

Keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori disambut baik pelbagai pihak.

Antaranya Jaringan Asia bagi Anti Hukuman Mati (Adpan) yang mengalu-alukan keputusan itu sebagai "langkah ke hadapan yang progresif".

"Adpan mengalu-alukan pengumuman kerajaan yang ia akan menyemak dan memansuhkan hukuman mati mandatori di Malaysia.

"Hukuman mati mandatori tidak memberikan keadilan kerana ia menafikan budi bicara hakim untuk menjatuhkan hukuman berdasarkan keadaan setiap pesalah secara individu.

"Hukuman ini telah menyebabkan hukuman tidak masuk akal yang mencetuskan bantahan awam, seperti kes Hairun Jalmani, ibu tunggal yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah di Tawau, serta Mainthan Arumugam yang menunggu hukuman mati kerana pembunuhan yang tidak berlaku," kata Adpan dalam kenyataan hari ini.

Jaringan itu turut menggesa kerajaan melaksanakan pembaharuan penting dalam sistem keadilan jenayah, termasuk menakrif semula kesalahan dadah dengan mengambil kira "keldai dadah" dan individu lain yang diperguna, serta mengukuhkan sistem sokongan terhadap mangsa dan hukuman rehabilitatif.

Parti Muda turut menyambut baik keputusan itu, dengan berkata ia perubahan signifikan yang akan memastikan pesalah mendapat peluang kedua.

"Hukuman mati mandatori tidak pernah dibuktikan mampu menurunkan kes jenayah.

"Keputusan ini juga perlu disusuli dengan pelaksanaan hukuman berdasarkan hukuman pemulihan yang lebih teliti oleh kerajaan. Pastikan sistem perundangan dan undang-undang Malaysia memberi keadilan kepada semua," kata ketua penerangannya Luqman Long dalam kenyataan.

Luqman membangkitkan bahawa pemansuhan itu antara manifesto PH pada PRU lalu dan menyuarakan penghargaan kepada kerajaan hari ini kerana meneruskannya.

"Terima kasih kepada semua aktivis dan kumpulan hak asasi manusia yang tidak berhenti dan bertungkus lumus memperjuangkan isu ini sejak sekian lama," katanya lagi.