Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mati dalam tahanan: Pelajar Nigeria dipaksa lompat katak - peguam

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa beberapa tindakan pengabaian, yang bermula dengan penahanan yang menyalahi undang-undang, menjadi punca kepda kematian Thomas Orhions Ewansiha tiga tahun lalu.

Menurut peguam Rajesh Nagarajan, antara tindakan lain oleh kakitangan imigresen termasuk memaksa pelajar pascasiswazah yang mempunyai masalah berat badan serta darah tinggi, untuk lompat katak ketika ditahan di pusat tahanan Imigresen Bukit Jalil.

Rajesh yang mewakili keluarga mendiang berkata pegawai penguatkuasa imigresen telah menahan secara salah lelaki berusia 34 tahun itu pada 4 Julai 2019, memandangkan dia ada visa pelajar dan pasport yang sah.

Selepas dipukul penguatkuasa ketika ditangkap, dia kemudian dibawa ke pusat tahanan di mana dia dipaksa untuk melakukan squat, katanya lagi.

"Dia dihukum dan dipaksa lompat katak yang menyebabkan dia cedera. Dia agak obes, dengan berat antar 130kg hingga 140kg, dan dia ada masalah darah tinggi.

"Pihak Imigresen malah tidak periksa tekanan darahnya," kata Rajesh, sambil menambah ini kerana pegawai imigresen mendakwa lengan Orhion terlalu besar untuk alat membaca tekanan darah.

Peguam itu juga mendakwa pegawai perubatan di pusat tahanan memberikan amlodipine (ubat untuk darah tinggi) kepada mendiang, yang mungkin menyebabkan dia mengalami serangan jantung lima hari kemudian, iaitu pada 9 Julai.

"Amlodipine adalah ubat kawalan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan hanya boleh diberikan oleh ahli berdaftar, misalnya doktor," katanya lagi.

Penghujahan peguam

Peguam itu berkata lagi, serangan jantung yang dialami Orhion diburukkan lagi dengan keadaan sel tahanan yang teruk, di mana seorang lagi tahanan dalam keterangannya berkata mendiang terpaksa tidur di lantai yang keras dengan botol air sebagai bantal.

Dia berkata demikian ketika pendengaran permohonan keluarga untuk membatalkan keputusan Mahkamah Koroner pada 12 November 2021 bahawa kematian warga Nigeria itu tidak boleh disimpulkan berpunca daripada kecuaian atau unsur jenayah.

Koroner Mahyon Talib memutuskan Orhion mati atas sebab semula jadi.

Selepas ditahan dalam satu operasi, pihak Imigresen berkata Orhion dikenakan tahanan 14 hari sementara pengesahan dokumen dibuat, serta pengesahan daripada kolej berhubung rekod kehadiran dan maklumat kursus yang diambilnya.

Sementara itu, dalam prosiding di depan pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid hari ini, timbalan pendakwa raya Kamarul Aris Kamalluddin berkata isu dakwaan tangkapan menyalahi undang-undang tidak relevan.

Dia berkata ini kerana inkues hanya berkaitan punca kematian Orhion dan laporan patologi menyatakan dia mati atas sebab semula jadi, iaitu serangan jantung, dan bukannya dipukul.

"Berdasarkan laporan patologi, tiada testimoni (dari inkues) yang menunjukkan ubat (amlodipine) ada dalam badan mending, jadi bagaimana boleh dikatakan ia menyebabkan serangan jantung," katanya.

Kamarul bagaimanapun mengakui bahawa koroner mendapati jika rawatan segera diberikan kepada Orhion ketika dia pengsan akibat serangan jantung, dia mungkin boleh diselamatkan.

Dia juga berkata pegawai di pusat tahanan telah melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawanya dengan memberikan CPR sebanyak 600 kali sebelum ambulans tiba.

(Berdasarkan penghujahan bertulis pihak pendakwaan, dinyatakan bahawa pegawai Imigresen melakukn CPR sehingga "66 kali" kepada Orhions sebaik selepas dia pengsan, berdasarkan bantuan menerusi telefon oleh wakil hospital sementara mereka menunggu paramedik tiba di pusat tahanan.)

[Baca berita asal]