Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM mungkin kekalkan Zuraida dalam kabinet - penganalisis

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilihat berdepan dilema kerana tidak dapat menamakan calon menggantikan Zuraida Kamaruddin sebagai menteri industri perladangan dan komoditi baru selepas ahli parlimen Ampang itu meninggalkan Bersatu dua minggu lalu.

Ismail Sabri sebelum ini berkata Zuraida kekal sebagai menteri sehingga dia berbincang dengan Zuraida.

Zuraida mengumumkan hasratnya untuk melepaskan jawatan menteri pada 26 Mei dan seterusnya pada 7 Jun.

Untuk rekod, Ismail Sabri dan Zuraida kini dalam lawatan kerja masing-masing ke Jepun dan Turki minggu lepas.

Ketika dihubungi, penganalisis politik berkata Ismail Sabri keberatan membuat keputusan memandangkan dia memerlukan sokongan semua parti termasuk Bersatu yang menguasai 31 kerusi parlimen, BN (41 kerusi) serta PBM, parti baru yang kini mempunyai tiga ahli Parlimen selepas meluluskan permohonan keahlian Zuraida.

Menurut penganaisis, Ismail Sabri berisiko untuk digulingkan seperti pendahulunya Muhyiddin Yassin, jika dia membuat keputusan yang salah.

Phoon WIng Keong

Penganalisis politik Phoon Wing Keong percaya Ismail Sabri mungkin terus mengekalkan Zuraida dalam kabinet sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"Jika dia memecat Zuraida, akan timbul pertikaian bagaimana untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan olehnya. Umno akan membantah jika jawatan menteri diberikan kepada Bersatu.

"Ismail Sabri tidak boleh menjawab kepada partinya jika ia tidak diberikan kepada Umno. Dia juga berisiko hilang sokongan dengan memecat Zuraida daripada kabinetnya," katanya.

“Oleh itu, dia mungkin kekal status quo buat masa ini,” kata Phoon.

Tambahnya, Ismail Sabri tidak tergesa-gesa untuk menangani perkara itu kerana PRU semakin hampir.

Awang Azman Awang Pawi

Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi berkata Ismail Sabri tidak berhasrat untuk memecatnya walaupun Bersatu menuntut jawatan menteri.

"Dia (Ismail Sabri) tidak mahu memburukkan lagi situasi politik.

"Jika PM melayan tuntutan Bersatu ia akan menyebabkan ketidakpuasan PBM dan mengundang kemarahan dari parti umno. Ini menyebabkan konflik semakin teruk dan krisis kepercayaan terhadap PM akan tercetus mampu mengancam kedudukannya sebagai PM.

"Manfaat yang PM dapat jika mengekalkan hubungan (baik) dengan Zuraida dan parti baru Zuraida, PBM ialah dapat mengelakkan krisis politik yang lebih besar.

"PM sedar ada lagi pihak dalam Bersatu seperti (Mohamed) Azmin (Ali) dan sekutunya mampu bertindak balas terhadap kerajaan PN dan mengancam kedudukan dan imej Ismail Sabri sebagai PM," katanya.

"PM amat selesa dengan politik 'play safe' untuk kekalkan kuasanya sebagai PM dan jaga reputasinya sendiri dan tak mahu mencipta musuh baru dalam politik.

"Jika teruskan kekalkan Zuraida akan mudarat sedikit di antara konflik antara PM dengan Bersatu berbanding jika lantikan baru kalangan Bersatu, menyebabkan Ismail Sabri tidak akan disokong oleh parti Umno," tambahnya.

Dia juga berkata bahawa Umno mahu kepentingan dalam jawatan kabinet untuk melemahkan parti serpihannya, Bersatu.