'Bersatu tak ada masalah lagi dengan RUU antilompat parti'
Bersatu sedia menyokong rang undang-undang (RUU) antilompat parti di Parlimen, menurut seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.
Razali Idris berkata persoalan berhubung takrifan lompat parti telah pun diselesaikan.
Dia berkata mereka pada mulanya ada masalah dengan RUU itu kerana takrifan tersebut merangkumi wakil rakyat yang dipecat daripada parti.
"Jawatankuasa (RUU tersebut) yang dipengerusikan menteri undang-undang (Wan Junaidi Tuanku Jaafar) setuju dengan kita. Jadi kalau kena pecat bukan dikira sebagai lompat parti.
"Kalau ia dikira lompat parti, maka ramalah presiden parti akan pecat mereka yang tak setuju dengannya nanti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Terdahulu hari ini, Wan Junaidi dalam kenyataan mengumumkan mesyuarat khas Dewan Rakyat tidak akan diadakan untuk membentangkan RUU itu.
Sebaliknya, RUU itu akan dibentangkan semasa mesyuarat kedua Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula pada 18 Julai.
Wan Junaidi berkata ia diputuskan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kerana ramai ahli parlimen akan ke luar negara atas urusan rasmi antara dari awal hingga pertengahan Julai, selain untuk menjimatkan kos.
Beberapa sumber mendakwa keputusan itu mungkin ada kaitan dengan kebimbangan untuk mendapatkan undi yang cukup untuk meluluskan RUU itu. Memandangkan ia memerlukan Perlembagaan Persekutuan dipinda, Ismail Sabri memerlukan sokongan 148 ahli parlimen.
Razali yang merupakan senator di Dewan Negara berkata Bersatu hanya tidak setuju dengan takrifan lompat parti.
"Lain-lain semua okey. Kami sudah sedia untuk pembentangan dan berbahas. Tapi kalau menteri kata tak perlu segera, boleh dibuat seperti mana takwim biasa, kita tiada hal.
"(Tetapi) tak timbul lagi isu yang Bersatu tak setuju," katanya lagi.
RUU itu, yang bertujuan menghalang ahli parlimen daripada menukar parti, adalah komponen utama dalam memorandum persefahaman (MOU) antara Ismail Sabri dengan PH.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai