Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MB: Pembinaan kilang baru di Paloh Hinai buka peluang kerja pada Orang Asli

Lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya kepada masyarakat Orang Asli akan ditawarkan melalui pelaburan terbaru oleh syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB) di Paloh Hinai, Pekan, Pahang.

Pelaburan berjumlah RM162 juta itu merangkumi tiga fasa pembinaan kilang dan dijangka siap sepenuhnya suku kedua tahun hadapan.

Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan kilang berkenaan sudah dimulakan dan fasa pertama membabitkan kilang baja dijangka siap hujung tahun ini.

"Sekarang ini mereka (NGGB) mempunyai kira-kira 250 pekerja dan lapan daripadanya adalah daripada masyarakat Orang Asli.

"Apabila siap tiga lagi kilang di sini, saya harap lebih ramai Orang Asli diambil bekerja dan ini dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka," katanya dalam sidang media di Paloh Hinai hari ini.

Wan Rosdy menjelaskan, pihak NGGB sudah melakukan kajian dan mendapati lokasi itu bersesuaian dan memudahkan mereka mendapatkan bahan mentah bagi menghasilkan produk seperti tisu, kertas dan baja.

"Macam nak buat kertas dan tisu, mereka gunakan pelepah kelapa sawit dan ia mudah diperoleh di Pahang, jadi dari segi bekalan memang tidak ada masalah kerana kita ada banyak kebun kelapa sawit.

"Mereka juga ada buat perjanjian dengan Felda dan hari ini, kita buat (tandatangan) memorandum persefahaman (MoU) dengan NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan)," katanya.

NGGB melabur RM80 juta bagi membina kilang tisu, RM50 juta untuk kilang makanan haiwan dan RM32 juta bagi kilang baja.

Pembinaan tiga kilang itu membabitkan kawasan seluas 410 ekar di bawah inisiatif Taman Teknologi Hijau Pekan yang dilancarkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak pada tahun 2016.