Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas KSN: Najib lantik saya sertai 1MDB kerana 'kebaikan hatinya'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa ekoran "kebaikan hati" Najib Razak, bekas perdana menteri itu memutuskan untuk melantik bekas ketua setiausaha negara (KSN) Mohd Sidek Hasan sebagai ahli lembaga penasihat 1MDB.

Sidek yang merupakan saksi pendakwaan ke-19 kes rasuah dana 1MDB RM2.28 bilion berkata demikian ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini.

Menurutnya, Najib merasakan gajinya sebagai KSN yang berjumlah RM29,125 pada masa itu terlalu rendah dan perlu ditambah dengan cara lain.

"Sejujurnya, saya fikir PM pada masa itu tawarkan (pelantikan) kerana gaji saya (selaku KSN) dan saya tak suka yang hal ini akan dilaporkan di akhbar, PM rasa gaji saya agak terlalu rendah untuk tanggungjawab (selaku KSN). Saya tahu perkara ini selepas saya sertai Petronas kemudian (selaku pengerusi).

"...Jadi (ia dibuat) daripada kebaikan hatinya - saya rasa itulah sebabnya (dilantik ke dalam 1MDB).

"Ia hanya untuk menebus gaji yang rendah, bukan kerana saya KSN," katanya.

Sidek juga bersetuju dengan kenyataan Shafee bahawa tiada salahnya dengan langkah Najib itu kerana ia dicetuskan oleh "kebaikan hatinya".

Dia juga bersetuju dengan soln Shafee berhubung jika Najib memilihnya kerana dia adalah seorang yang ternama (eminent).

Peguam itu merujuk Memorandum dan Artikel Pertubuhan 1MDB yang menyatakan lembaga penasihat perlu dianggotai sekurang-kurangnya empat orang dan tidak lebih lapan orang, dengan perdana menteri sebagai pengerusi, menteri yang bertanggungjawab terhadap Unit Perancang Ekonomi (EPU) sebagai timbalan pengerusi, dan baki ahli merangkumi tokoh ternama.

Bayaran RM30,000 sebulan

Semalam, Sidek dalam keterangannya berkata dia tidak pernah diundang ke mana-mana mesyuarat ketika menganggotai lembaga itu.

Dia juga berkata Najib melantiknya dengan bayaran sebanyak RM30,000 sebulan kerana bekas perdana menteri itu merasakan gajinya terlalu rendah.

Najib kini dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa kesalahan dalam 1MDB dilakukan oleh Low Taek Jho dengan restu Najib.

Pihak pembelaan pula mendakwa Najib tidak tahu tentang kesalahan yang berlaku dan penyelewengan didalangi Low dan beberapa individu dalam pengurusan syarikat itu.

[Baca berita asal]