Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kes Ain Husniza: AGC tak patut lantik peguam persekutuan, kata 74 MP

Ahli Parlimen pembangkang berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak sepatutnya melantik peguam kanan persekutuan untuk mewakili guru yang didakwa membuat jenaka rogol dalam kelas serta bekas guru besar dalam saman tuntutan balas yang difailkan remaja, Ain Husniza Saiful Nizam dan bapanya.

Seramai 74 ahli parlimen pembangkang dalam kenyataan bersama hari ini berkata pelantikan peguam kanan persekutuan dalam kes itu sangat memeranjatkan dan harus ditarik balik.

"Kami, ahli parlimen Malaysia berpendapat bahawa pihak kerajaan Keluarga Malaysia, khususnya Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pendidikan, haruslah bersikap berkecuali dalam pertikaian ini.

“Pelantikan seorang peguam kanan persekutuan dalam tindakan sivil persendirian yang dimulakan oleh guru terlibat hanya akan memburukkan keadaan dan akan memberi persepsi yang negatif terhadap Kementerian Pendidikan dan kerajaan.

"Kes Ain sebenarnya telah mencetuskan lebih kebimbangan dan kegentaran di kalangan ibu bapa serta pelajar di sekolah-sekolah kita, di samping menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pendidikan kita.

"Selain itu, dana pembayar cukai haruslah digunakan sewajarnya," kata mereka.

Tambah mereka, tumpuan kerajaan seharusnya pada usaha menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif di sekolah di seluruh negara selain menghormati profesion perguruan.

Institusi-institusi pendidikan perlu memberi penegasan bahawa sindiran seksual dan jenaka mengenai rogol, terutama terhadap remaja perempuan, tidak boleh diterima sama sekali, kata mereka lagi.

"Kami turut menegaskan bahawa kami menghormati hak sesiapa sahaja untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk guru tersebut.

"Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara sebagai penggubal rang undang-undang gangguan seksual seharusnya lebih peka terhadap kes seperti ini," kata mereka.

Minggu lalu, Ain dan bapanya, Saiful Nizam Ab Wahab, memfailkan afidavit di mana mereka mendakwa “tidak wajar” dan janggal bagi peguam kanan persekutuan mewakili defendan ketika kedua-duanya disaman atas kapasiti peribadi.

Semasa memfailkan tuntutan balas mereka pada Mac, Ain dan bapanya berhujah bahawa saman fitnah guru terhadap mereka dilakukan dengan niat untuk menutup kebenaran di sebalik gurauan yang dikatakan lucah dalam bilik darjah.

Bekas guru SMK Puncak Alam Khairul Nizam Sanuddin, pengetua sekolah ketika itu Sarimah Mohammed Nor, pengarah pendidikan negeri Selangor Anismah M Noh, Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin, dan kerajaan disenaraikan sebagai defendan pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima dalam tuntutan balas tersebut.

Sebelum ini, Khairul dilaporkan memfailkan saman fitnah terhadap dua beranak itu berhubung video TikTok yang mendakwa gangguan seksual dalam bilik darjah.

Khairul telah dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Selangor sementara siasatan polis. Mereka kemudian mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut.