Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Anwar gesa menteri pertahanan bertindak segera tangani isu pesara tentera

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menggesa Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memandang serius nasib yang menimpa pesara tentera di negara ini.

Anwar menegaskan kerajaan perlu menyemak semula dasar pencen pesara tentera dan menangani beberapa isu lain yang melibatkan kebajikan mereka.

Ia susulan kira-kira 1,500 pesara tentera dari seluruh negara berkumpul di Tugu Negara hari ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati, terutama dalam isu kebajikan terhadap mereka.

"Saya ikuti perkembangan perhimpunan aman oleh para veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tugu Negara hari ini.

"Ternyata mereka ini tiada pilihan lain untuk menegakkan hak mereka dan beberapa perkara lain selepas gagal mendapat tumpuan Kementerian Pertahanan.

"Isu ini juga sudah beberapa kali saya dan rakan-rakan Pakatan Harapan (PH) bawa di parlimen dan hari ini sekali lagi saya mendesak menteri pertahanan untuk segera ambil tindakan terkait perkara ini.

"Usah abaikan suara golongan Veteran ATM yang telah banyak berjasa kepada negara kita,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi, kira-kira 1,500 pesara cabang Angkatan Tentera Malaysia (Tentera Darat, TLDM dan TUDM) berhimpun secara aman di Tugu Negara menuntut kerajaan menangani isu-isu yang dihadapi oleh golongan veteran.

Mereka mahu Putrajaya meningkatkan kadar pencen pesara tentera yang bersara sebelum 2013, serta hak untuk menerima pencen setelah sekurang-kurangnya 10 tahun berkhidmat.

Timbalan pengerusi himpunan yang diberi nama 'Reunion Tentera' itu, Mejar (B) Mior Rosli Mior Jaafar ketika berucap menyatakan kebanyakan daripada lebih 300,000 pesara tentera hidup susah dan termasuk dalam kategori B40.

Mior, yang merupakan bekas komando Tentera Udara Diraja Malaysia dan bersara dengan pangkat Mejar, memberitahu pemberita bahawa dia telah cuba mendapatkan perhatian Kementerian Pertahanan berhubung isu itu sejak lapan tahun lalu tetapi tidak berjaya.

Ini termasuk pertemuan dengan pelbagai Menteri Pertahanan semasa pentadbiran dahulu dan sekarang, seperti Hishammuddin Hussein, Mohamad Sabu daripada Pakatan Harapan dan Ismail Sabri Yaakob yang merupakan perdana menteri semasa.

"Kesemua mereka memberi saya jawapan yang sama: 'kami akan mengkaji isu-isu'," kata Mior pada sidang media di penghujung himpunan Reunion Veteran hari ini.