Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP: K'jaan perlu sedaya upaya kuat kuasa dasar gaji minimum

Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran perlu bersungguh-sungguh menguatkuasakan gaji minimum RM1,500, susulan aduan sesetengah syarikat enggan melaksanakan dasar itu.

Bekas menteri sumber manusia itu berkata, dia berdepan tentangan yang sama ketika gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 pada 2020.

"Ketika saya jadi menteri dan kita naikkan gaji minimum, saya juga dapati ramai majikan yang menentang, tetapi saya segera ingatkan mereka berkenaan tindakan tegas kerajaan jika mereka tidak mematuhinya. Mereka kemudian akur.

"Ketidakpatuhan sekarang sangat jelas. Kerajaan perlu sedaya upaya menguatkuasakan gaji minimum baru," katanya dalam kenyataan semalam.

M Kulasegaran

Dia menggesa kerajaan untuk campur tangan jika ada syarikat menggunakan kontrak lama sebagai alasan untuk mengelak daripada melaksanakannya.

"Kerajaan perlu campur tangan jika majikan salahkan obligasi kontrak sebagai sebab untuk tidak naikkan gaji. Kerajaan perlu rangka perancangan.

"Pembayaran gaji di Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan banyak negara lain," katanya lagi.

Kulasegaran berkata, gaji minimum yang ditetapkan masih lebih rendah berbanding gaji wajar RM2,700 untuk orang dewasa bujang di Kuala Lumpur.

"Bagi pasangan tanpa anak, gaji wajar adalah RM4,500, dan untuk pasangan dengan dua anak, gaji wajar adalah RM6,500.

"Sudah tiba masanya kerajaan menimbang idea yang lebih progresif seperti Model Gaji Progresif Singapura, di mana ia memupuk keinginan untuk menaikkan gaji pekerja menerusi menambah baik kemahiran dan pengeluaran.

"Cukup-cukuplah melangkah ke belakang, kerajaan harus ke depan. Jika kita tidak berbuat sesuatu, tak lama lagi kita akan lihat pekerja kita bekerja di negara seperti Vietnam dan Indonesia di mana gaji telah bertambah baik secara drastik dalam tempoh beberapa tahun ini," katanya lagi.