Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aziz Bari semua orang dia nak lawan, kata Peja

Sesiapa sahaja boleh bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 nanti, kata ahli parlimen kawasan itu Ahmad Faizal Azumu.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata ini kerana Malaysia mengamalkan sistem demokrasi.

“Abdul Aziz Bari (ketua pembangkang Perak) bukan mahu lawan saya seorang, tetapi semua orang dia mahu lawan.

“Dalam negara demokrasi ini bukan sahaja Abdul Aziz Bari tetapi isterinya pun boleh, tiada masalah kerana semua orang boleh bertanding,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Liga Sukan Malaysia (MSL) Daerah Kinta 2022 di X Park Sunway City di Ipoh hari ini.

abdul Aziz Bari

Dia berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Aziz yang juga AdunTebing Tinggi dari DAP pada 22 Mei lepas, yang menyatakan hasrat untuk mencabar bekas menteri besar Perak itu di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 dan mempertahankan kerusi DUN Tebing Tinggi yang disandangnya ketika ini.

Ahmad Faizal turut mengingatkan bakal-bakal calon yang berhasrat untuk merampas kerusi Tambun supaya tidak berpolitik dengan memburukkan seseorang individu dengan cara tidak baik dan taksub, sehingga menjejaskan perpaduan dan sebagainya.

“Ada adab-adab di Malaysia ini yang boleh dijaga dengan baik. Berpolitik ini bukan untuk diri sendiri tetapi untuk orang ramai,” katanya yang juga Adun Chenderiang.

-Bernama